Sudah-sudahlah Marsha

Bintang AF3 dikatakan 'terdesak' mencari cinta, mengaitkan dirinya dengan Yusry KRU

MEMANG teruja apabila Zubir mendapat undangan peribadi daripada diva tersohor Indonesia, Krisdayanti atau KD untuk menyaksikan showcase beliau sempena mengutip derma Tabung Gempa Bumi Padang, Indonesia pada malam 23 Oktober lalu. Jika ikutkan hati, Zubir sebenarnya malas nak pergi tambahan pula terpaksa berasak-asak bersama peminatnya. Zubir pun dah lama tak clubbing, jadinya memang malas tahap dewa!

Tapi, disebabkan KD, Zubir gagahkan juga meredah kesesakan lalu lintas selepas hujan menuju ke Borneo Baruk Club (BBC) di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, lokasi berlangsungnya persembahan KD. Sekalipun seumur hidup Zubir tak pernah jejaskan kaki di BBC, tapi kerana ingin memenuhi undangan KD, Zubir tebalkan muka, rela bertanya kepada kawan-kawan di manakah lokasi kelab berkenaan.

Setibanya di BBC, Zubir disambut wakil daripada Tropic Jaya Entertainment, lalu di bawa ke tingkat atas yang dikhaskan hanya kepada wakil media massa dan artis jemputan saja. Namun, agak memeranjatkan, begitu ramai ‘manusia’ yang tidak dikenali berada pada aras berkenaan. Justeru, sebaik persembahan bermula kira-kira jam 9.30 malam, memang Zubir tidak berpeluang melihat KD yang membuat persembahan di tingkat bawah.

Zubir mencari-cari juga ruang sempit untuk mengintai ke pentas, namun yang kelihatan hanyalah kepala dan pinggul ‘manusia’ yang tidak dikenali itu. Zubir hanya berpeluang menikmati kemerduan nyanyiannya saja, mendengar vokal KD ibarat sedang menikmati persembahannya menerusi cakera padat (CD)!

Bosan dengan lokasi pihak wartawan yang tidak diendahkan itu, sebaik saja KD selesai mengalunkan lagu ketiganya, Zubir terus angkat kaki, bosan apabila pihak media massa tidak mendapat layanan yang sewajarnya daripada pihak penganjur. Hello, Zubir berada di Malaysia, di tanah air sendiri untuk melihat artis seberang membuat persembahan, tapi inikah layanan terbaik yang mampu diberikan penganjur!

Berbeza ketika Zubir diundang ke Jakarta, Indonesia pertengahan tahun ini menyaksikan penghibur terkenal negara itu, Agnes Monica mengadakan persembahan sempena promosi album barunya, Sacredly Agnezious di sebuah stesen TV. Rombongan wartawan Malaysia diberi peluang berada betul-betul di depan pentas, begitu juga ketika berlangsungnya Anugerah Planet Muzik (APM) di Jakarta, baru-baru ini, wartawan Malaysia diberikan tempat duduk VIP!

Justeru, apa yang berlaku ketika menyaksikan showcase KD di BBC baru-baru ini ibarat kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan! Kalaulah Zubir tahu tempat duduk wartawan tempatan dipandang sepi oleh pihak yang bertanggung jawab, tak ingin Zubir datang, lebih baik duduk rumah dengar CD album kompilasi terbaru KD, Aku Wanita Biasa, lagi puas hati!

Persembahan amal KD itu adalah anjuran Tropic Jaya Entertainment dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) , Garuda Indonesia dan BBC sebagai penaja lokasi.

Pun begitu, apa yang diperlakukan kepada wakil media massa tempatan di BBC itu, masih boleh Zubir maafkan lagi sebaik saja memikirkan undangan berkenaan hadir secara terus daripada mulut KD, sebaliknya apabila membaca kenyataan bintang Akademi Fantasia 3 (AF3), Marsha Milan Londoh, 24, di sebuah majalah hiburan, mengakui dia amat meminati Yusry KRU, tiba-tiba saja membuatkan Zubir rasa geli!

“Kali pertama saya jumpa Yusry, saya mengakulah yang saya tergamam melihat dia di depan mata. Masa tu, saya tak boleh nak bersuara. Tak tahulah kenapa, tapi saya rasa sebab saya ni memang peminat setia KRU. Setakat itu sajalah. Tak ada apa-apa perasaan di antara kami. Kawan dalam bekerja, tak ada yang lebih-lebih,” begitulah lebih kurang pengakuan Marsha kepada majalah hiburan popular itu.

Mengenali Marsha yang jelita ini, memang tak dinafikan dia sering kali dikaitkan dengan ramai lelaki kacak dan berpengaruh. Namun, selepas putus cinta dengan Keifli AF3, barulah pecah tembelang, mengaku antara mereka sebelum ini memang wujud perasaan cinta. Kalau benar dia meminati KRU, kenapa dia tidak tergamam melihat Norman atau Edry, hanya terhadap Yusry saja yang berstatus duda ‘terhangat di pasaran itu’?

Zubir tidak pernah bermasalah dengan Marsha sebelum ini, tapi apabila membaca kenyataan begitu, ia memperlihatkan Marsha seolah-olah terdesak mencari pengganti cinta baru. Namun, disebabkan nak cover line, mengaku sajalah, Marsha peminat KRU, kata kau!

ZUBIR: Betulkah dengar cerita ada artis popular pura-pura mabuk di pusat karaoke, membiarkan diri ‘diratah’ beramai-ramai, nasib baik tak mengandung, licik sungguh!


Artikel lain: