Sabtu, 15 Julai 2017 | 8:21am

Nolito kian hampir tinggalkan Man City


PENYERANG Manchester City, Nolito.- Foto AFP

BARCELONA: Penyerang Manchester City, Nolito kian hampir kembali ke Sepanyol apabila media tempatan melaporkan penyerang itu bakal melengkapkan perpindahan 10 juta euro (RM49 juta) ke Sevilla selepas musim mengecewakan di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sevilla yang menamatkan saingan La Liga di tangga keempat musim lalu menunjukkan minat mendapatkan khidmat pemain berusia 30 tahun itu selepas melepaskan penyerangnya, Vitolo ke Atletico Madrid dengan nilai perpindahan 36 juta euro (RM176 juta).

Penyerang itu memulakan kempen di Manchester City dengan cemerlang apabila meledak dua gol pada penampilan keduanya untuk membantu pasukannya meraih kemenangan 4-1 ke atas Stoke City.

Namun, dia hanya beraksi dalam kesebelasan utama sebanyak sembilan kali dan tidak pernah membarisi kesebelasan utama sepanjang tahun 2017.

Pemain Sepanyol itu tidak menyembunyikan keinginannya untuk meninggalkan City ketika bertemu wartawan pada Mei lalu.

"Saya mahu pulang ke Sepanyol. Saya mahu meninggalkan City sama ada secara pinjaman mahupun tetap.

"Saya gembira kerana beraksi sehingga Disember dan saya tidak diberi peluang beraksi sepanjang tempoh empat bulan selepas itu.

"Ia menjadi pengalaman yang tidak pernah saya jangkakan. Jadi saya mengharapkan saya mampu meraih sesuatu yang positif pada musim panas ini." - Reuters

Berita Harian X