Trending
Kes

Hina polis: Suri rumah didenda RM6,000

KUANTAN: Seorang suri rumah didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Khas Trafik Kuantan, hari ini kerana menghina seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Instagram, 12 Januari lalu.

Aini Syanina Ismail, 23 dari FELDA Hilir 3, Gambang di sini turut berdepan hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat Majistret, Nor Izzati Zakaria selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, Aini melakukan kesalahan di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini pada 4.30 pagi, 12 Januari lalu.

Tertuduh didapati dengan niat merakam video melalui stories Instagram sambil menyebut perkataan ‘bodoh polis bodoh’ dan memuat naik di Instagram berdaftar atas nama Nanabeauty, milik tertuduh.

Bagi kesalahan itu, Aini didakwa mengaibkan kehormatan terhadap Inspektor Faizal Basri yang sedang menjalankan tugas rasmi dengan suci hati.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta hukuman ringan kerana tidak bekerja, manakala suaminya hanya bekerja di ladang dan mempunyai tiga tanggungan dengan pendapatan RM800 sebulan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ker Qi En dan tertuduh membayar denda yang dikenakan.

Related Article