Trending
Kes

Hati-hati jika terima mesej rakan mahu pinjam wang

KUALA LUMPUR: Polis meminta orang ramai membuat semakan terlebih dahulu sekiranya menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada kenalan kononnya mahu meminjam wang.

Polis mendapati modus operandi itu digunakan sindiket penipuan dengan menghantar mesej mahu meminjam wang menggunakan identiti kenalan atau individu yang dikenali mangsa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata sepanjang tahun lalu, pihaknya menerima 193 laporan polis daripada mangsa penipuan sedemikian membabitkan kerugian mencecah RM6.021 juta.

Katanya, taktik penipuan sedemikian masih dikesan berlaku sehingga kini dan terbaharu, pihaknya menerima aduan seorang lelaki selepas mendapati identitinya digunakan penyamar untuk membuat pinjaman, 13 Januari lalu.

"Pengadu yang juga seorang peniaga berusia 59 tahun mendakwa pada mulanya dia gagal membuka aplikasi WhatsApp pada telefon bimbitnya dan menyah pasang (uninstall) aplikasi itu.

"Dia kemudian memuat turun semula aplikasi berkenaan namun ia masih tidak dapat digunakan kerana kod pengesahan WhatsApp masih tidak dihantar ke telefon bimbitnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, lelaki itu kemudian menerima panggilan telefon daripada seorang rakan wanita bertanyakan sama ada pengadu ada menghantar mesej untuk meminjam wang.

"Pengadu menafikan perkara itu dan mengesyaki ada individu lain yang menggunakan identitinya untuk membuat pinjaman wang sebelum membuat laporan polis.

"Hasil semakan mendapati lebih 20 orang kenalan pengadu dihubungi oleh individu yang menyamar itu," katanya.

Eng Lai berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan panggilan dan mesej WhatsApp yang diterima dengan membuat penilaian dan semakan terlebih dahulu supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan membuat semakan dengan melayari laman sesawang Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) di https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi menyemak akaun yang terbabit sebarang kes penipuan.

"Kita juga menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan sindiket ini atau sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.