Trending
Kes

Ibu Allahyarham Jamaludin berjaya tuntut saham Rantai Wawasan

KUALA LUMPUR: Ibu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis berjaya memasukkan 3,000,000 saham Syarikat Rantai Wawasan milik bekas Ahli Parlimen Rompin itu sebagai sebahagian aset harta pusaka.

Keputusan itu selepas Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan sebahagian tuntutan Aminah Abdullah, 85, selaku plaintif terhadap dua cucunya iaitu anak sulung Allahyarham, Nur Anis, 34, dan Ikwan Hafiz, 32.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan Aminah untuk memasukkan saham Syarikat Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insights Wawasan Sdn Bhd ke dalam senarai aset dan liabiliti milik Allahyarham.

Terdahulu, Mohd Firuz dalam penghakimannya, berkata berdasarkan keterangan saksi pembelaan, mahkamah bersedia menerima keterangan bahawa kedua-dua saham Syarikat Alpine dan Ivory dibeli untuk manfaat defendan pertama dan kedua.

Katanya, pada 2011 dan 2012, kedua-dua defendan sememangnya terbabit dalam operasi dan pengurusan kedua-dua syarikat berkenaan, di bawah bimbingan Allahyarham.

"Bagaimanapun, situasi bagi saham Syarikat Rantai Wawasan adalah berbeza.

"Ini kerana ia adalah pembabitan pertama kedua-dua defendan selepas Allahyarham meninggal dunia," katanya.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan sebahagian daripada tuntutan plaintif.

"Tuntutan plaintif untuk deklarasi bahawa saham Rantaian Wawasan adalah sebahagian daripada aset harta pusaka adalah dibenarkan.

"Tuntutan untuk deklarasi bahawa saham Alpine Motion dan Ivory Insights adalah sebahagian daripada aset harta pusaka adalah ditolak," katanya.

Mahkamah turut memerintahkan defendan-defendan membayar kos RM80,000.

Dalam saman itu, Aminah menamakan Nur Anis dan Ikwan Hafiz sebagai defendan pertama dan kedua.

Jamaludin terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor pada 4 April 2015.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Aminah, mendakwa kedua-dua defendan sebagai pentadbir bersama harta pusaka Allahyarham gagal memasukkan sebahagian saham dari tiga buah syarikat ke dalam senarai aset dan liabiliti milik Allahyarham.

Syarikat berkenaan adalah Rantai Wawasan Sdn Bhd, Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insights Wawasan Sdn Bhd.

Plaintif mendakwa sebagai ibu kandung yang sah dan waris kepada Jamaludin, beliau mempunyai kepentingan di dalam harta pusaka.

Beliau mendakwa kedua-dua cucunya itu gagal memasukkan ke dalam senarai aset dan liabiliti harta Jamaludin (si mati) iaitu 3,000,000 saham syarikat Rantai Wawasan; 6,000,000 saham dalam syarikat Alpine Motion dan dua saham dalam syarikat Ivory Insights Wawasan.

Plaintif mendakwa kedua-dua defendan sebagai pentadbir bersama harta pusaka si mati gagal memasukkan saham tiga syarikat itu ke dalam senarai aset di dalam Surat Kuasa Mentadbir.

Menurutnya, kegagalan memasukkan saham itu ke dalam Senarai Aset dan Tanggungan sejak 6 Julai 2017 (Tarikh Surat Kuasa Mentadbir diberikan), adalah salah dan tidak wajar.

Beliau turut mendakwa, kegagalan itu adalah bertujuan untuk menafikan hak dan kepentingan plaintif sebagai benefisiari harta pusaka si mati.

Plaintif juga mendakwa terdapat beberapa maklumat tidak didedahkan kepadanya iaitu apartmen yang dimiliki Allahyarham di Boston, Amerika Syarikat bernilai RM10 juta.

Sehubungan itu, Aminah menuntut kedua-dua defendan memindah milik saham tiga syarikat itu kepada pentadbir bersama harta pusaka.

Beliau juga menuntut pentadbir bersama harta pusaka meminda senarai aset di dalam geran surat kuasa dengan memasukkan saham yang dituntut serta mengakaunkan dividen, bonus, keuntungan dan isu terbitan dalam tiga syarikat kepada beliau.

Related Article