KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil semula pendakwah terkenal, Ebit Lew dan isterinya untuk dirakam keterangan berhubung kes gangguan seksual.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata percakapan mereka direkod di Bukit Aman, semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan spekulasi serta provokasi hingga menjejaskan siasatan polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 20 Ogos lalu, media melaporkan siasatan ke atas Ebit Lew dilakukan berikutan aduan diterima polis daripada beberapa individu yang mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.
Sehari sebelum itu, Ebit Lew, 37, dipanggil ke Bukit Aman, bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), JSJ Bukit Aman.
Pendakwah yang juga usahawan itu tiba bersama peguamnya, Datuk Hasnal Rezua Merican pada jam 9.30 pagi dan keluar pada jam 2 petang.
Ebit Lew ditemui media di luar Bukit Aman berkata, beliau dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan dan memberikan kerjasama sepenuhnya.