Trending
Kes

Dua ditahan memandu secara berbahaya

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua pemandu yang dikesan memandu secara berbahaya dan dipercayai ada kaitan buli jalan raya selepas rakaman video mengenainya tular di media sosial, semalam.

Polis pada jam 2.43 petang semalam mengesan satu rakaman video berdurasi 27 saat yang dimuat naik menerusi satu akaun Facebook memaparkan aksi pemanduan berbahaya membabitkan dua kereta.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Jalan Kuching menghala ke pusat bandar raya.

"Hasil semakan lanjut mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang, Jumaat lalu, membabitkan dua kereta iaitu Hyundai Elantra dan PERODUA Myvi.

"Unit Risikan/Operasi JPST Kuala Lumpur berjaya mengesan kedua-dua pemandu dan mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Balai Trafik Kuala Lumpur, pada jam 10 malam tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berusia 47 dan 33 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Dalam perkembangan sama, Sarifudin berkata, ujian saringan air kencing turut dijalankan ke atas kedua-dua pemandu dan keputusan mendapati pemandu PERODUA Myvi positif dadah methamphetamine/amphetamine.

Katanya, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut dan akan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, katanya orang ramai yang ada sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.