Trending
Kes

Keterangan bersumpah daripada kandang tertuduh pilihan lebih baik

KUALA LUMPUR: Memberikan keterangan bersumpah dalam kandang tertuduh dan boleh disoal balas pihak pendakwaan adalah pilihan terbaik jika seseorang tertuduh betul-betul mahukan keadilan dan membela diri mereka tanpa ragu-ragu.

Peguam Mohd Fahmi Abdul Moin, berkata ini kerana dalam perbicaraan kes jenayah, hakim akan menentukan kredibiliti dan keberatan keterangan mana-mana saksi termasuk tertuduh.

Beliau berkata, apabila mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan secara prima facie (wujud bukti dalam setiap inti pati dalam pertuduhan) pada akhir kes pendakwaan, seseorang tertuduh akan dipanggil untuk membela diri.

Bekas timbalan pendakwa raya itu menjelaskan, mengikut Seksyen 173(a) Kanun Tatacara Jenayah, sebelum tertuduh dipanggil memberi keterangan, hakim akan memberikan tiga pilihan kepada tertuduh berhubung keterangan yang bakal diambil.

"Pilihan pertama adalah memberikan keterangan bersumpah dalam kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan itu, kedua memberikan keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan tertuduh.

"Pilihan ketiga ialah berdiam diri. Tiga pilihan ini harus diterangkan sifat dan akibatnya oleh hakim dan pilihan tertuduh hendaklah direkodkan.

"Hakim yang mendengar akan menentukan kredibiliti dan keberatan keterangan saksi termasuk tertuduh, jadi jika tertuduh memilih pilihan dua atau tiga, maka sukar untuk hakim menilai keterangan itu kerana ia tidak diuji," katanya.

Mohd Fahmi memberikan contoh kes bunuh penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Lay Kian di mana tertuduh, Ahmad Najib memilih untuk berdiam diri.

Dalam kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membacakan ketiga-tiga pilihan itu terhadap Ahmad Zahid.

Hakim juga memerintahkan ketiga-tiga pilihan itu diperjelaskan kepada tertuduh.

Peguam belanya, Hamidi Mohd Noh kemudian menjelaskan ketiga-tiga pilihan itu kepada Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid memaklumkan kepada hakim dengan berkata: "Yang Arif, saya memilih pilihan pertama".

Related Article