Trending
Kes

Pistol, peluru ditemukan dalam kenderaan penjenayah ditembak mati

KUALA LUMPUR: Polis menemui sepucuk pistol bersama 13 peluru dalam kenderaan digunakan seorang penjenayah yang ditembak mati di sebuah unit kondominium di Taman Salak Selatan, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata senjata api itu ditemui kira-kira jam 1.30 tengah hari Selasa lalu ketika polis menjalankan pemeriksaan susulan di sekitar tempat kejadian.

Katanya, kenderaan jenis Toyota Estima itu dipercayai digunakan suspek sebelum kejadian tembak menembak antara suspek dan polis berlaku.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui satu beg kitar semula di bawah tempat duduk pemandu dan menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson mengandungi enam peluru hidup serta satu sampul surat mengandungi tujuh lagi peluru hidup.

"Berdasarkan maklumat risikan, polis percaya senjata api ditemui adalah milik si mati," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi melalui sidang media Isnin lalu berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur menembak mati seorang penjenayah yang disyaki mendalangi kejadian samun membabitkan kerugian RM693,000 di sebuah rumah di Cheras, pada November tahun lalu.

Kejadian berlaku ketika serbuan di sebuah unit kondominium di Taman Salak Selatan, kira-kira jam 10 malam menerusi satu operasi khas.

Azmi berkata, ketika serbuan itu, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis dan bagi melindungi nyawa pegawai dan anggota, anggota serbuan melepaskan tembakan balas.

Suspek berusia 40 tahun kemudian ditemui mati dalam bilik utama unit kondominium terbabit, sebelum pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol separa automatik jenis CZ 75 Compact yang digunakan suspek mengandungi enam butir peluru serta sebutir bom tangan.

Susulan operasi ini, pasukan D9 JSJ Kuala Lumpur melancarkan Op Tiger dan menahan lapan lagi suspek termasuk seorang wanita berusia antara 28 hingga 67 tahun di sekitar Lembah Klang.

Hasil soal siasat, polis merampas sepucuk lagi pistol jenis CZ Compact bersama dua kelopak pistol berisi 28 butir peluru di sebuah gudang di Klang Utara, Selangor.

Azmi mengesahkan kumpulan penjenayah ini dipercayai mendalangi sekurang-kurangnya 15 kes samun sejak 2009, selain terbabit kegiatan jenayah lain termasuk bunuh dan pengedaran dadah.

Related Article