Trending
Kes

Sindiket daftar kad prabayar secara tidak sah terbongkar

KANGAR: Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket penipuan membabitkan pendaftaran kad prabayar secara tidak sah meliputi pemilikan kelengkapan atau peranti tidak standard, selepas menahan tujuh individu di sebuah premis di Jalan Cahaya, Taman Cahaya, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata suspek termasuk tiga wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun itu diberkas kira-kira jam 5.40 petang, susulan polis menerima maklumat bahawa premis menjual alat komunikasi itu disyaki digunakan untuk kegiatan judi dalam talian.

"Hasil serbuan polis bagaimanapun mendapati tiada kegiatan berkenaan dijalankan di dalam premis itu. Namun, hasil pemeriksaan lanjut ke atas peralatan komputer, mesin, pelbagai jenis kad sim prabayar dan peralatan 'sim box' atau 'sim card multiplexer' jenis GSM Gateway telah membongkar kegiatan sindiket penipuan membabitkan pendaftaran kad prabayar secara tidak sah.

"Hasil soal siasat ke atas suspek mendapati premis itu disyaki terbabit kegiatan sindiket penipuan itu. Modus operandinya ialah suspek disyaki membeli kad sim prabayar kosong daripada syarikat telekomunikasi yang sah secara pukal.

"Melalui kad sim prabayar kosong itu, suspek dipercayai akan menggodam untuk memperoleh senarai data peribadi orang lain. Data peribadi warga tempatan dan asing yang sebelum ini didaftarkan untuk sesuatu talian telefon itu, kemudian akan dimasukkan ke dalam kad sim prabayar kosong berkenaan.

"Sindiket itu disyaki kemudian menjual kad sim prabayar yang sudah mempunyai data peribadi orang lain berkenaan kepada sindiket lain yang menjalankan kegiatan jenayah komersial seperti penipuan dalam talian, Macau Scam dan pelbagai jenayah penipuan dalam talian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Dalam serbuan itu, beliau berkata, pihaknya turut merampas peralatan digunakan sindiket itu meliputi 29 komputer termasuk skrin dan unit pemprosesan pusat (CPU), 13 papan kekunci komputer dan sebuah pemacu pena.

"Selain itu, kita merampas 51 Sim Box (Sim Card Multiplexer) jenis GSM Gateway, 13 tetikus, sebuah modem WiFi dan 3,084 kad sim prabayar kosong daripada beberapa syarikat telekomunikasi, dengan rampasan dianggarkan bernilai RM130,000.

"Sindiket ini disyaki menggunakan perniagaan menjual peralatan komunikasi dan kad prabayar untuk mengaburi kegiatan jenayah dilakukan mereka. Jika diteliti, kad sim prabayar yang sudah ada data peribadi orang lain itu tidak dijual kepada orang awam, sebaliknya dijual kepada sindiket lain yang turut sama menjalankan penipuan dalam talian seperti Macau Scam.

"Berdasarkan pemeriksaan, kita juga mendapati syarikat sindiket ini sudah didaftarkan pada 2019 tetapi kegiatan itu dipercayai bermula awal tahun ini. Siasatan lanjut akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan berapa ramai mangsa sudah digunakan data peribadi mereka untuk kegiatan ini dan bagaimana data peribadi orang awam ini digodam serta diperoleh," katanya.

Suspek termasuk individu disyaki ketua sindiket berkenaan yang berusia 35 tahun, kini direman hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu serta Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memiliki kelengkapan atau peranti tidak standard.

Orang ramai diminta membantu polis dengan menyalurkan maklumat kegiatan jenayah komersial melalui saluran CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101559/03-26101599 atau melalui aplikasi WhatsApp CCID Infoline menerusi talian 013-2111222 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Related Article