Trending
Kes

Warga emas melecur cuba padam inap desa terbakar

KLANG: Seorang lelaki warga emas melecur pada muka dalam kebakaran membabitkan sebuah inap desa di Jalan Jaya Setia, Kampung Bukit Kapar, di sini, hari ini.

Mangsa, 71, cedera selepas terkena bahang sewaktu cuba memadamkan api di inap desa miliknya itu.

Ketika kejadian, mangsa bersama isterinya, 68, berada di dalam kediaman terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, sepasukan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Sungai Pinang dan Andalas dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 4.59 petang.

"Kebakaran membabitkan sebuah bangunan yang dijadikan 'homestay' (inap desa) dengan anggaran peratusan kemusnahan adalah 50 peratus.

"Api bagaimanapun berjaya dikawal jam 5.36 petang dengan seorang mangsa cedera akibat terkena bahang api semasa cuba memadamkan kebakaran pada peringkat awal," katanya.

Norazam berkata, lelaki warga emas yang cedera itu dikejarkan ke Hospital Klang oleh ahli keluarga bagi mendapatkan rawatan lanjut, dengan keadaan mangsa dilaporkan stabil.