Trending
Kes

Suami isteri disyaki dalang sindiket pelacuran di Masai

JOHOR BAHRU: Sindiket pelacuran dipercayai didalangi sepasang suami isteri yang aktif sejak lebih sebulan lalu, berjaya ditumpaskan polis yang menyerbu sebuah hotel bajet di Masai, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang itu, polis menahan seorang lelaki berusia 62 tahun dan isterinya berusia 48 tahun, kedua-duanya warga tempatan.

"Pasangan itu ditahan bagi membantu siasatan aktiviti pelacuran yang dipercayai dijalankan sejak akhir Ogos lalu. Polis turut menahan enam wanita warga asing berusia antara 33 hingga 54 tahun, selain enam lelaki berusia 33 hingga 55 tahun termasuk warga asing.

"Kumpulan wanita warga asing itu dipercayai menawarkan perkhidmatan seks, manakala enam lelaki berkenaan dipercayai pelanggan. Polis juga merampas kondom, losyen, tuala, tisu, buku daftar masuk, resit dan wang tunai RM978," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, bagi mengaburi pihak berkuasa, aktiviti pelacuran di hotel bajet terbabit dijalankan pada waktu tengah hari hingga petang dengan pelanggan dikenakan bayaran antara RM50 hingga RM130 setiap kali mendapatkan perkhidmatan di situ.

"Semakan mendapati pasangan suami isteri yang ditahan itu mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau. Siasatan dijalankan mengikut 372B Kanun Keseksaan kerana mencari langganan bagi maksud persundalan.

"Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Kes juga disiasat mengikut Akta 373 kanun sama kerana mengurus rumah persundalan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

"Lima daripada enam wanita warga asing yang ditahan dan seorang pelanggan didapati tiada dokumen perjalanan sah, disiasat mengikuti Akta Imigresen. Semua yang ditahan direman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan," katanya.

Mohd Sohaimi berkata, mulai awal tahun ini hingga September lalu, pihaknya menjalankan lapan serbuan berkaitan kegiatan pelacuran, menahan 33 individu termasuk 28 wanita dipercayai menawarkan khidmat seks dan lima pelanggan.

"Polis turut merampas wang tunai RM10,800 dalam siri serbuan berkenaan," katanya turut memaklumkan pihaknya juga melakukan 33 serbuan ke pusat hiburan dan menahan 80 individu bagi membantu siasatan serta merampas wang tunai RM8,700.

"Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen hiburan awam membabitkan 29 kes, manakala empat kes kesalahan beroperasi melebihi masa," katanya.