Trending
Kes

Bayi digigit di muka, kesan pulas kedua-dua telinga

AMPANG JAYA: Seorang pengasuh direman selama empat hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes seorang bayi perempuan berusia lapan bulan dipercayai mengalami kecederaan ketika diletakkan bawah jagaannya di Taman Putra, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata wanita berusia 43 tahun itu ditahan kelmarin selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada Jumaat lalu.

"Berdasarkan laporan itu, ibu mangsa mendakwa menyedari anaknya mengalami kecederaan dengan kesan gigitan di muka dan pulas pada kedua-dua telinga.

"Ibu mangsa kemudian membawa anaknya ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai enam anak asuhan berusia antara tiga bulan hingga dua tahun.

"Suspek juga mempunyai dua anak kandung yang tinggal bersama, iaitu masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia 16 tahun serta lapan tahun.

"Ketika kejadian, suspek didakwa meninggalkan mangsa dan keluar rumah. Kecederaan mangsa dipercayai berpunca daripada anak asuhan yang lain menggigit muka bayi itu," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.