Trending
Kes

Pesakit cabut lari gara-gara insurans tak 'cover'

SUNGAI PETANI: Seorang pesakit wanita melarikan diri dari wad sebuah hospital swasta semalam tanpa membuat pembayaran kerana insurans diambil tidak melindungi penyakitnya.

Berikutan itu, jururawat hospital berkenaan membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata pesakit berkenaan yang berusia 32 tahun pada mulanya mendaftar untuk mendapatkan rawatan di hospital terbabit jam 6.40 petang kelmarin sebelum dimasukkan ke wad.

"Bagaimanapun, pada 9.30 malam pihak hospital memaklumkan kepada wanita itu yang insuransnya tidak boleh digunakan sebelum dia memberitahu enggan meneruskan rawatan dan mahu keluar wad.

"Jururawat kemudian memberitahu doktor bertugas sebelum proses keluar wad dilakukan terhadap pesakit terbabit yang turut diminta menjelaskan bayaran dan mengambil ubat di farmasi," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pada 10.40 malam pesakit berkenaan didapati tiada dalam wad dan dikesan tidak membuat pembayaran serta mendaftar keluar dari hospital.

"Kakitangan hospital cuba menghubunginya namun pesakit berkenaan tidak menjawab panggilan telefon dan satu laporan polis dibuat jururawat.

"Susulan itu, polis menghubungi pesakit terbabit namun tidak dijawab dan cuba mencarinya di rumah bagaimanapun wanita berkenaan tiada selain pintu berkunci," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan ke hospital swasta itu kerana mengalami sakit perut dan memberitahu dia mempunyai insurans ketika mendaftar masuk wad.

"Pemeriksaan mendapati pesakit mengalami gastrik namun syarikat insurans yang diambilnya mendakwa mereka tidak melindungi penyakit dihidapi wanita itu membuatkan dia keluar wad.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut serta sedang mengesan pesakit berkenaan," katanya.