Trending
Kes

Empat anak yatim piatu selepas kemalangan

MARANG: Pasangan suami isteri maut, manakala empat anak parah dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 41.5 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan dekat Mercang, di sini, jam 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Arshad Mamat, 50, meninggal di Klinik Kesihatan Merchang, manakala isteri, Rozita, 41, meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, empat anak pasangan terbabit iaitu Nur Ain Fitriyah, 17, Muhammad Adami Najmudden, 13, Muhammad Adzli Abid Muayyad, 7, dan seorang lagi dikenali sebagai Shahril, parah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Beliau berkata, mangsa lain belum dikenal pasti status kecederaan dan mereka menerima rawatan di Klinik Kesihatan Merchang.

Mohd Zain berkata, kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri terbabit bersama empat anaknya yang menaiki PERODUA Axia dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Dungun.

"Kemalangan berlaku apabila PROTON Satria Neo yang dipandu lelaki berusia 20 tahun dari Paka, dipercayai terbabas selepas memasuki lopak air.

"Kenderaan terbabit yang hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar PERODUA Axia dinaiki enam beranak terbabit," katanya.

Mohd Zain berkata, perlanggaran itu menyebabkan pasangan suami isteri terbabit tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang depan.

Katanya, dua lagi kenderaan, di belakang Perodua Axia mengalami kerosakan.

Beliau berkata, kejadian berlaku selepas hujan iaitu permukaan jalan licin dan terdapat lopak air.

Related Article