KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyerbu sebuah premis mewah yang dalam proses untuk dijadikan pusat panggilan sindiket penipuan antarabangsa membabitkan pelaburan saham dan mata wang kripto di ibu negara, hari ini.
Serbuan dijalankan di sebuah bangunan di Jalan Raja Chulan, sekitar jam 12 tengah hari oleh Pasukan Khas, Bahagian Pengubahan Wang Haram (AML) susulan Op Tropicana diketuai Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, di Lembah Klang dan Pulau Pinang, minggu lalu.
Sindiket berkenaan sebelum ini menyasarkan mangsa dari luar negara dan tidak menolak kemungkinan turut menjadikan rakyat negara ini sebagai mangsa mereka.
Sumber berkata penemuan lokasi serbuan hari ini berdasarkan risikan dan temu bual 81 suspek yang diberkas dengan 10 daripada mereka ditahan reman.
"Siasatan awal mendapati sindiket itu dalam proses merekrut kakitangan sebelum mula beroperasi.
"Premis yang telah 90 peratus siap itu dipercayai akan beroperasi dalam tempoh tiga bulan lagi," katanya kepada media hari ini.
Katanya berdasarkan maklumat risikan kos ubahsuai untuk premis yang bakal dijadikan pusat panggilan ini mencecah RM500,000.
Pelbagai peralatan pejabat serta kemudahan komputer turut ditemui.
Turut ditemui beberapa skrip dalam bahasa asing dipercayai digunakan untuk menipu mangsa yang berada di luar negara.
Ketika serbuan dibuat di Jalan Raja Chulan, Pasukan Khas Bahagian AML SPRM turut menyerbu dua premis pengurup mata wang asing yang disyaki bersekongkol dengan sindiket penipuan pelaburan saham ini.
Berdasarkan penemuan beberapa telefon bimbit, pelbagai mata wang asing, anggota sindiket dipercayai melarikan diri selepas mengetahui puluhan rakan mereka diberkas dalam Op Tropicana minggu lalu.
Pada masa ini sebanyak 74 akaun perbankan milik individu dan syarikat yang dianggarkan bernilai RM11 juta sudah dibekukan.
Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Imigresen (Imigresen), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau berkata modus operandi sindiket adalah menawarkan portfolio pelaburan tidak wujud menerusi iklan di media sosial oleh ahli sindiket yang terdiri daripada warga Australia, Britain, Afrika Selatan dan Filipina.
Sindiket sama dipercayai telah memperdaya mangsa dengan meyakinkan mereka supaya melabur ke dalam syarikat pelaburan yang tidak wujud dan syarikat tersebut hanyalah rekaan semata-mata.
Risikan awal Pasukan Khas AML SPRM mendapati sindiket penipuan antarabangsa itu dipercayai menipu mangsa di seluruh dunia membabitkan kerugian sehingga RM1 bilion.