BIDOR: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun diselamatkan anggota bomba selepas tersangkut pada buaian kanak-kanak di taman permainan kanak-kanak berdekatan Pasar Bidor, hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, Tarmizi Rasid, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 8.55 pagi sebelum menghantar sepasukan pegawai dan anggota dari BBP Bidor ke lokasi.
"Tiba di lokasi kejadian, didapati seorang remaja perempuan tersangkut pada buaian di taman permainan terbabit. Pihak bomba memotong buaian bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tarmizi berkata, pihak bomba mengambil masa kira-kira lima minit bagi mengeluarkan mangsa daripada buaian besi terbabit dan pemeriksaan mendapati remaja berkenaan tidak mengalami kecederaan sebelum operasi ditamatkan jam 9.30 pagi.