Trending
Nasional

Darjah Kebesaran S.P.M.S yang dikurnia kepada Dr Mohamad Khir ditarik semula

SHAH ALAM: Dewan Diraja Selangor menarik semula serta membatalkan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) Kelas Pertama yang dikurniakan kepada Dr Mohamad Khir Toyo pada tahun 2001, berkuatkuasa 30 September lalu.

   Penarikan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan pada 29 September lalu mengekal dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 yang mendapati Dr Mohamad Khir bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama setahun.

   Pendaftar Darjah Kebesaran Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata ekoran penarikan itu, Dr Mohamad Khir dilarang menggunakan Darjah Kebesaran itu dan gelaran Datuk Seri.

   Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, berkata pihak ketiga juga turut dilarang memanggil beliau dengan menggunakan gelaran berkenaan memandangkan kurniaan itu telah ditarik dan dibatalkan.

   Ia dibuat selaras dengan kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengikut Perkara XXXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Statut Darjah Kebesaran yang berkenaan.

   "Sultan Sharafuddin Idris Shah memandang berat reputasi penerima Darjah Kebesaran Negeri Selangor terutama dari kalangan pemimpin negara dan negeri yang terbabit dengan mana-mana perlakuan tidak sihat dan tidak berintegriti seperti melakukan kesalahan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

   "Penerima sepatutnya tidak membabitkan diri dengan perbuatan salah laku dan kesalahan jenayah demi melindungi martabat Darjah Kebesaran Negeri Selangor yang dipakai selain memelihara status penerimanya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Related Article