Trending
Nasional

Kos kerja atas tanah projek MRT2 jimat RM5.22 bilion

PUTRAJAYA: Kos pembinaan untuk kerja-kerja atas tanah bagi Projek Tren Aliran Transit Massa 2 (MRT 2) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) berjaya dijimatkan sebanyak 23 peratus atau RM5.22 bilion berbanding kos asal sebanyak RM22.64 bilion.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, penjimatan itu dicapai melalui pengurangan kos dan rasionalisasi skop kerja yang mana ia masih mengekalkan kesemua stesen atas tanah.

“Kementerian Kewangan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan, agensi kerajaan seperti Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) serta pihak swasta telah menjalankan rundingan pengurangan kos terhadap Projek MRT2 sejak bulan Mei lalu.

“Malah, sebuah firma jururunding kejuruteraan turut dilantik bagi menjalankan kajian rasionalisasi kos tersebut.

“Susulan daripada kajian tersebut, Jemaah Menteri pada 3 Oktober lalu menerima tawaran daripada MMC-Gamuda selaku rakan kongsi penyerahan projek (PDP) projek itu melalui

melalui dua surat bertarikh 15 Ogos dan 7 September lalu bagi melaksanakan kerja pembinaan atas tanah MRT2,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan dan MMC-Gamuda gagal mencapai persetujuan dan penyelesaian untuk kos kerja-kerja bawah tanah dan Jemaah Menteri memutuskan supaya kontrak kerja-kerja bawah tanah ditamatkan.

“Kerja-kerja yang masih belum disiapkan akan ditender semula melalui kaedah tender terbuka antarabangsa.

“Jemaah Menteri mengambil keputusan tersebut setelah mempertimbangkan penjimatan tambahan yang akan diperoleh melalui tender terbuka berbanding dengan tawaran oleh pihak kontraktor,” katanya.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana kerajaan mahu mendapatkan nilai penjimatan bagi semua perbelanjaan kerajaan, terutama apabila sesuatu projek tersebut membabitkan pinjaman yang besar.

Menurutnya, penjimatan berjumlah berbilion ringgit dapat mengurangkan beban hutang dan faedah yang perlu ditanggung oleh kerajaan di mana akhirnya ia perlu dibiayai melalui pengenaan cukai ke atas rakyat pada masa hadapan.

“Penjimatan kos projek ini juga akan mengurangkan kadar tambang yang perlu dibayar oleh pengguna MRT, sekali gus meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan penduduk di Lembah Klang.

MRT 2 mula dibina pada September 2016 dan dijangka siap pada Julai 2022.

Ia bakal memiliki 35 stesen, termasuk 11 stesen bawah tanah, dengan laluan sepanjang 52.2 kilometer (km).

Sehingga April lalu, projek itu sudah mencapai tahap kemajuan pembinaan sehingga 24 peratus dan berjalan mengikut jadual.