Trending
Nasional

Gaji doktor, pegawai kesihatan kontrak dikaji - Menteri

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan bercadang menaikkan gred pegawai perubatan berstatus kontrak ke gred UD43 daripada UD41 dalam usaha menangani ketidakseimbangan gaji doktor di hospital kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia antara perkara yang sedang diusahakan kementerian sejajar dalam reformasi Skim Perkhidmatan Kesihatan (HAC).

“Isu HO/MO (Pegawai Kesihatan/Pegawai Perubatan) kontrak dan perjawatan ini kompleks.

“Saya akan bekerjasama dengan Majlis Perubatan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mencari penyelesaian menyeluruh yang adil.

“Insya-Allah kita cuba menyelesaikan isu kontrak HO/MO, beri mereka gred UD43 berbanding UD41 sebagai penyelesaian jangka pendek,” katanya dalam hantaran pada Twitter.

Beliau mengulas ciapan pengguna Twitter dikenali Dr Aen yang mendakwa ramai doktor enggan meneruskan kerjaya mereka khususnya yang berstatus kontrak kerana tidak mendapat keistimewaan seperti kakitangan tetap.

“Tahu tak kenapa ramai dah tawar hati nak teruskan jadi doktor? Kontrak tapi kena kerja sehabis boleh. Tak dapat keistimewaan macam pegawai tetap. Tak dapat gaji yang sama. Tapi kerja biasanya kontrak ni lagi bersungguh sebab takut kena buang,” katanya.

Luahan Dr Aen itu disokong seorang lagi pengguna Twitter dikenali DrSazOne yang meminta supaya kerajaan memberi perhatian terhadap keluhan golongan doktor berstatus kontrak.

“Saya berpendapat luahan ini perlu diberi perhatian. Inilah suara akar umbi. Mereka masa hadapan negara. Saya dapat rasakan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, kerajaan akan merancang dengan baik dan mengambil langkah serta keputusan yang tegas untuk menghasilkan doktor berkualiti tinggi bagi memenuhi cabaran dan keperluan kesihatan negara.

“Beberapa dasar lama perlu ditukar dan moratorium perjawatan HO/MO 2012 akan digarap dalam reformasi HAC,” katanya.

Buat masa ini, pegawai perubatan berstatus kontrak menerima gred gaji UD41 dan memperoleh pendapatan sebanyak RM3,100 sebulan berbanding kakitangan tetap yang memperoleh RM3,700 di bawah gred UD44.