KUALA LUMPUR: Usaha membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan Low Teak Jho atau Jho Low sepatutnya mudah jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa di negara tempatnya bersembunyi, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Bagaimanapun, usaha PDRM berhadapan pelbagai kesukaran sehinggakan beliau tidak dapat memenuhi azamnya membawa pulang Jho Low ke negara dan dibawa ke muka pengadilan sebelum akhir tahun lalu.
"Saya memang berazam untuk membawa pulang Jho Low sebelum akhir tahun lalu, dan selepas itu kita tidak berdiam dan menggunakan pelbagai cara supaya dia dapat dibawa balik.
"Malangnya kita tidak mendapat kerjasama sepatutnya seperti yang biasa kita terima sebelum ini sedangkan kes membabitkan Jho Low adalah kes jenayah dan dia adalah penjenayah yang lari dari buruan," katanya ketika diwawancara ada program bual bicara Malaysia Prihatin: Keamanan dan Keselamatan Rakyat yang disiarkan di TV1 malam ini.
Beliau berkata segala usaha dibuat dengan meminta bantuan pihak berkuasa di Hong Kong dan Macau serta agensi perisikan antarabangsa yang lain, bagaimanapun berhadapan halangan yang sangat besar.
Pada awal tahun ini, katanya pihak polis menangkap seorang daripada orang kepercayaan Jho Low yang secara diam-diam membuat pelbagai urusan di atas nama Jho Low di negara ini.
"Kita ambil tindakan untuk tangkap dan hasil daripada soal siasat ke atasnya, kita dapat mengungkap beberapa transaksi yang cuba dijalankan oleh Jho Low, antaranya untuk membeli tanah di Cyprus.
"Hasil soal siasat itu juga, kita dapat mengenal pasti beberapa hartanah milik keluarga Jho Low yang ada di dalam negara, maka kita ambil langkah untuk menyita aset-aset itu," katanya.
Abdul Hamid berkata, sekiranya Jho Low sedang bersembunyi, bagaimana dia boleh membuat transaksi sedemikian dan itu menunjukkan seolah-olah dia bebas berbuat apa-apa.
Menurutnya, usaha menangkap Jho Low sepatutnya mudah sekiranya pihak berkuasa di negara tempat Jho Low berada, ikhlas untuk membantu PDRM.
"Perkara ini sebenarnya mudah sekiranya agensi kepolisan sebuah negara itu ikhlas membantu namun sekiranya tidak ikhlas, ia mempunyai agenda... maka ia jadi susah.
"Kita tidak boleh bertepuk sebelah tangan, ia tidak berbunyi... yang perlu adalah menangani jenayah rentas sempadan, dan dalam kes seperti ini ialah kerjasama.
"Sebelum ini wujud kerjasama yang begitu baik sekali, tetapi kenapa dalam kes ini seolah-olah kita dihalang... mereka tidak mahu memberikan kerjasama dan memberikan pelbagai alasan... itulah masalahnya," katanya.