Trending
Nasional

136 ingkar arahan PKP ditahan semalam

KUALA LUMPUR: Seramai 136 individu yang mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ditahan pihak berkuasa, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 36 individu direman dan 100 lagi dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan mengingkari PKP itu ialah aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial, tidak memakai pelitup muka di tempat sesak, dan aktiviti di dalam pub serta kelab malam.

"Selain itu, premis beroperasi tanpa kebenaran dan tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kedah pula, kesalahan dikesan termasuklah keluar rumah tanpa alasan munasabah dan orang luar masuk ke kawasan berkenaan tanpa alasan munasabah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Mengenai Ops Benteng pula, Ismail Sabri memaklumkan, pasukan keselamatan menahan 64 PATI dan seorang tekong, selain merampas lima kenderaan darat, semalam.

"Antara kejayaan Ops Benteng, semalam, ialah penahanan 10 PATI di Bandar Penawar, Johor, oleh Rejimen Pertama Kor Armor Diraja.

"Secara keseluruhan dari 1 Mei hingga 21 September lalu, seramai 7,012 individu ditahan melalui Ops Benteng membabitkan 5,992 PATI, tekong (737) dan penyeludup (283)," katanya.

Sejak 24 Julai lalu, beliau berkata, seramai 32,464 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan menjalani kuarantin wajib.

Daripada jumlah itu, seramai 8,214 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 68 hotel dan lapan premis lain, termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di ibu negara, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19
  • Related Article