Trending
Nasional

Seramai 90,470 orang hilang pekerjaan tahun ini

KUALA LUMPUR: Seramai 90,470 orang hilang pekerjaan bagi tahun ini berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 28 Oktober lalu.

PERKESO menjelaskan, dalam tempoh sama, seramai 33,341 orang berinsurans di bawah SIP kembali bekerja menerusi program penempatan pekerjaan semula PERKESO dan Portal MYFutureJobs.

Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan penempatan pekerjaan semula termasuk di bawah program insentif pengambilan pekerja Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diuruskan PERKESO ialah 102,025 kes bekerja semula.

"PERKESO ingin menasihati pekerja yang terbabit dalam pemberhentian kerja seperti Skim Pemisahan Sukarela (VSS) atau sebagainya, supaya melayari laman web PERKESO, www.perkeso.gov.my bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung faedah SIP atau PENJANA dan juga tatacara membuat permohonan," katanya.

Dalam pada itu, PERKESO memaklumkan sedia membantu kakitangan syarikat penerbangan yang terjejas ekoran diberhentikan dan penutupan operasi syarikat, menerusi faedah dibawah SIP serta PENJANA.

Agensi itu memaklumkan, SIP PERKESO menyediakan perlindungan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan penggantian pendapatan menerusi elaun mencari pekerjaan untuk tempoh satu hingga enam bulan.

"Untuk meningkatkan kebolehpasaran pekerja yang kehilangan pekerjaan, PERKESO menyediakan latihan vokasional dan kemahiran bagi mengukuhkan kepakaran dan pengetahuan mereka.

"Kursus latihan dan kemahiran dibiayai PERKESO sehingga RM4,000 manakala peserta akan menerima elaun latihan sebanyak RM10 hingga RM20 sehari untuk tempoh maksimum enam bulan" kata kenyataan itu.

PERKESO juga katanya, akan menyalurkan bantuan melalui inisiatif PENJANA iaitu Program Insentif Pengambilan Pekerja menerusi platform MYFutureJobs, yang menyediakan latihan kemahiran dan peningkatan kemahiran.

Katanya, majikan yang menggajikan pekerja melalui program ini, boleh menghantar pekerja mereka menjalani kursus latihan secara percuma untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran dan kecekapan dalam melaksanakan tugas baru.

"Seperti kebiasaannya, PERKESO mengambil tindakan proaktif dalam menyalurkan bantuan kepada pekerja walaupun mereka belum mengemukakan permohonan faedah kepada PERKESO.

"Baru-baru ini, PERKESO melaksanakan satu program temuduga terbuka secara maya pada 22 dan 23 Oktober walaupun pekerja belum mengemukakan lagi borang permohonan untuk faedah SIP," katanya.

Related Article