KUALA LUMPUR: Sekumpulan pekerja Rapid KL semalam benar-benar menjadi 'bidan terjun' apabila menyambut kelahiran seorang bayi di Stesen LRT Puchong Prima.
Shahira Nurdiyana Rauf, 32, bersama rakan sekerja terpaksa membantu seorang ibu berusia 36 tahun yang tiba-tiba mahu bersalin di stesen berkenaan kira-kira jam 6.30 petang.
Katanya, beliau sedang berehat apabila mendengar jeritan rakan setugas meminta bantuan kerana wanita berkenaan sakit perut dan ada tanda mahu bersalin.
"Melihat keadaan wanita itu, saya dengan dibantu oleh penyelia pembersihan membawa wanita terbabit ke bilik rawatan di stesen itu.
"Wanita itu selamat melahirkan bayi lelaki sebelum kami memanggil pasukan perubatan," katanya.
Wanita dan bayinya itu dibawa dengan ambulans ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.
Tindakan mereka mendapat penghargaan daripada pengurusan Prasarana dan diraikan di dalam majlis ringkas di Ibu Pejabat Prasarana di Menara UOA Bangsar.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah, memuji keberanian dan kebolehan pekerja terbabit mengendalikan situasi cemas itu dan menyampaikan sagu hati sebagai tanda terima kasih syarikat
Shahira yang baru memulakan tugas setelah selesai cuti berpantang anak kedua bersyukur kerana bayi dan wanita berkenaan selamat.
"Pengalaman melahirkan dua cahaya mata dan sifat keibuan turut membantu mengendalikan situasi cemas ketika melahirkan bayi itu," katanya.