Trending
Nasional

Datuk Mokhtar Hashim meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim, meninggal dunia pada usia 78 tahun, awal pagi tadi.

Perkara itu disahkan oleh anak saudaranya, Ahmad Hafiz Abdul Raffar menerusi satu hantaran Facebook.

Ahmad Hafiz, yang mewakili keluarga Allahyarham memaklumkan Datuk Mokhtar Hashim meninggal dunia pada 3.10 pagi.

"Urusan solat jenazah dan pengebumian akan dimaklumkan. Seterusnya mohon bersama-sama kita mendoakan agar roh beliau sentiasa dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

"Hanya lafaz takziah serta doa yang mampu diucapkan dari kejauhan buat ahli keluarga Allahyarham," katanya.

Sementara itu, jenazah disolatkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, di sini, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, jam 12.30 tengah hari tadi.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah bekas Timbalan Menteri Penerangan, Tan Sri Khalid Yunus; bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Mokhtar meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira 3 pagi tadi akibat pendarahan dalam otak.

Beliau dimasukkan ke hospital itu semalam selepas mengalami strok.

Allahyarham meninggalkan balu, Datin Bahariah Yusof dan dua anak lelaki sementara anak perempuan tunggalnya telah meninggal dunia.

Mokhtar yang menyertai UMNO pada 1967, dipilih menjadi Ahli Parlimen Rembau- Tampin menerusi pilihan raya kecil pada 1972.

Beliau seterusnya memenangi kerusi Parlimen Tampin pada Pilihan Raya Umum 1974 dan 1978.

Allahyarham dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dari 1972 hingga 1974; Timbalan Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (1974-1976); Timbalan Menteri Pertahanan (1976); Timbalan Menteri Luar I (1977) serta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1981-1983).

Sementara itu, Khalid ketika ditemui Bernama berkata, Allahyarham akan dikenang sebagai pejuang Melayu tulen kerana banyak membuat keputusan yang melibatkan kepentingan orang Melayu, bumiputera, namun pada masa sama tidak mengabaikan kaum lain.

"Sepanjang persahabatan kami, baik dalam kerajaan mahupun parti UMNO, arwah banyak memainkan peranan untuk mencapai sesuatu yang positif demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula menerusi catatan Facebooknya melahirkan rasa sedih atas permergian Mokhtar yang pernah menerajui kementerian itu bagi tempoh 1980-1983.

"Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga, saudara-mara serta kenalan Allahyarham di atas pemergian ini. Marilah kita doakan moga roh Allahyarham sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah serta ditempatkan bersama orang-orang soleh dan beriman," katanya.

Dalam perkembangan sama, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan pemergian Mokhtar sebagai satu kehilangan besar kepada negara, khususnya dalam bidang kebudayaan, belia dan sukan.

Mengakui terkejut dan sedih atas pemergian Allahyarham, Rais berkata bekas Ahli Parlimen Tampin itu banyak menabur jasa dan bakti dalam memperkasa bidang kebudayaan, belia dan sukan selain turut memainkan peranan penting dalam sektor pertanian.

"Kebolehan beliau yang juga veteran UMNO dalam memimpin rakyat dan generasi muda akan sentiasa diingati dan saya merasakan warga Negeri Sembilan yang berkecimpung dalam bidang kebeliaan akan sentiasa merindui khidmatnya," katanya kepada Bernama.

Mohd Isa pula menyifatkan ketokohan Mokhtar semasa menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO menyerlahkan keperibadian Allahyarham dalam aspek kepimpinan.

"Ketika itu, saya adalah Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan dan hubungan kami berdua juga sangat baik. Ketika saya menjadi menteri besar pada 1995, saya telah melantik Allahyarham sebagai bendahari UMNO negeri dan pengarah pilihan raya malah kerjasama saya dengan beliau juga telah lama walaupun Allahyarham adalah senior saya," katanya.

Related Article