KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang dalam perbincangan dengan beberapa negara bagi pembukaan semula sempadan antarabangsa yang ditutup disebabkan pandemik COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sebagai negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, sempadan negara perlu dibuka semula bagi memastikan pemulihan ekonomi negara dapat dilaksanakan sepenuhnya pada 2021.
Beliau berkata, namun pembukaan sempadan negara tidak boleh dilaksanakan secara drastik kerana banyak perkara perlu diperhalusi dan dibincangkan secara bersama.
"Bagi membolehkan ekonomi kembali pulih sepenuhnya, pembukaan sempadan perlu dilaksanakan. Ketika ini kerajaan sedang dalam perbincangan bersama dengan beberapa negara.
"Perbincangan ini perlu mendapatkan kelulusan bersama dengan negara yang ingin kita buka sempadan itu. Walaupun ekonomi global dijangka pulih pada 2021 disebabkan ketersediaan vaksin COVID-19, tetapi ianya perlu satu kepastian yang mutlak.
"Kita mempunyai tempoh masa dalam dua hingga tiga bulan sebelum vaksin COVID-19 tersedia. Susah untuk kita buat ramalan tepat ketika ini, bergantung kepada situasi pandemik itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Bicara BH bertajuk Prospek Ekonomi 2021, Apa Jangkaan Peniaga, Apa Harapan Orang Muda secara maya di sini semalam.
Bicara BH turut disertai ahli panel lain, Naib Presiden Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong dan Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Muhammad Haziq Azfar Ishak.
Mustapa berkata, tahun hadapan dijangka akan menjadi tahun pemulihan ekonomi negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 6.5 peratus hingga 7.5 peratus.
Beliau berkata, jangkaan pertumbuhan ini juga seiring dengan ramalan KDNK dari Bank Dunia untuk Malaysia sebanyak 6.7 peratus.
Katanya, ia berdasarkan jangkaan pandemik COVID-19 yang dijangka kembali turun dan ketersediaan vaksin pada suku pertama tahun hadapan.
Namun, katanya, jika ianya tidak berjalan seperti yang diramalkan, ia akan memberi lebih banyak cabaran bukan saja kepada Malaysia tetapi juga dunia.
"Vaksin COVID-19 yang bakal berada pada hujung suku pertama 2021 akan membantu menstabilkan prospek ekonomi negara.
"Selain itu, kes penularan pandemik ini dijangka akan terkawal di peringkat global. Pemulihan ekonomi pada 2021 ini diharap akan kembali merancakkan semua sektor di negara ini.
"Akan ada pemulihan tetapi mungkin ada beberapa sektor tidak dapat kembali pulih seperti biasa seperti sektor pelancongan yang memerlukan lebih banyak masa lagi untuk kembali stabil sepenuhnya," katanya.
Mustapa berkata, perdagangan dunia juga menguncup 10.4 peratus tahun ini, kadar terburuknya dalam sejarah dan ianya dijangka akan kembali meningkat 8.3 peratus pada 2021.
Beliau berkata, Malaysia sebagai negara yang bergantung kepada perdagangan global sudah pastinya ia akan menjadi kesan kepada ekonomi negara.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong, berkata pembukaan sempadan penting bagi memastikan pemulihan ekonomi dikalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata, sebagai negara perdagangan, pandemik COVID-19 memberi impak kepada penurunan kewangan kepada banyak syarikat PKS.
"Sebab itu pembukaan sempadan antarabangsa penting ketika ini. Banyak sektor terjejas dengan kemerosotan eksport dan juga import," katanya.