Trending
Nasional

Nafi pengunjung Cameron Highlands kena buat ujian swab COVID-19

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Pahang menafikan pihaknya mengeluarkan arahan supaya pengunjung Cameron Highlands menjalani ujian pengesanan COVID-19, seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah, berkata Notis Perintah Tutup Premis yang tular dalam dakwaan itu sebenarnya dikeluarkan bagi pelaksanaan aktiviti nyah kuman premis perniagaan selepas satu kes positif dikesan di daerah itu.

"Susulan itu, Jabatan Kesihatan Pahang mengesan tempat yang dikunjungi pesakit semasa berada di Cameron Highlands yang membawa kepada pengeluaran notis berkenaan.

"Aktiviti pengesanan kontak rapat juga telah dilakukan dan mereka sudah diasing serta disaring untuk ujian pengesanan COVID-19. Jadi, tiada arahan bagi orang awam menjalani ujian itu dikeluarkan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Dr Bahari mengulas gambar notis penutupan pada beberapa premis perniagaan yang tular di WhatsApp dan Facebook, dengan keterangan yang mengatakan mereka yang baharu pulang bercuti dari Cameron Highlands perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19.

Orang awam juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber sahih dengan menghubungi Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) di talian 09-5707985 / 7988 atau melalui e-mel cprc_pahang@moh.gov.my, untuk sebarang pertanyaan.

Selain itu, mereka juga boleh melayari Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Pahang atau telegram CPRC Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia https://t.me/cprckkm bagi mendapatkan maklumat tepat kes COVID-19 di Pahang. – BERNAMA

Related Article