Trending
Nasional

Premis runcit, farmasi, dobi dibenar operasi hingga 10 malam

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan, memberi kelonggaran premis perniagaan seperti kedai runcit, serbaneka, keperluan harian dan farmasi untuk beroperasi sehingga jam 10 malam, bermula esok.

Langkah itu adalah bagi menyeragamkan semua waktu operasi setiap perniagaan yang diluluskan dan diberi kebenaran semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan penilaian risiko terhadap sektor perniagaan berkenaan.

"Sebelum ini kita tahu banyak kekeliruan yang timbul selepas kerajaan memberi kebenaran kepada restoran dan kedai makan untuk beroperasi sehingga jam 10 malam dan menyukarkan penguatkuasaan kerana terdapat perbezaan dari segi waktu.

"Justeru selepas penilaian risiko oleh KKM, maka sektor perniagaan lain yang termasuk dalam senarai dibenarkan beroperasi semasa PKP, boleh beroperasi sehingga jam 10 malam termasuk kedai dobi, kedai cermin mata, kedai pakaian dan lain-lain," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu juga dibuat selepas banyak permohonan daripada individu dan pihak yang terbabit dalam sektor berkenaan untuk melanjutkan operasi perniagaan mereka disebabkan faktor ekonomi.