Trending
Nasional

Kompaun RM10,000 hanya salah faham

KUALA LUMPUR: Dakwaan mengatakan individu yang melakukan kesalahan kecil dikenakan kompaun RM10,000 sejak beberapa hari lalu, hanya salah faham.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kadar RM10,000 yang ditulis dalam notis kompaun diberikan sebenarnya jumlah maksimum yang boleh dikenakan kepada pesalah.

"Apabila mereka dikemuka kompaun, bukan bermakna tawaran kompaun RM10,000, tapi boleh dikenakan sehingga RM10,000.

"Sekarang dengan adanya garis panduan, mereka boleh mendapatkan diskaun 50 peratus jika dibayar dalam tempoh tujuh hari atau 25 peratus jika dibayar dalam tempoh 14 hari.

"Tempoh diskaun itu akan dikira bermula hari ini, walaupun kompaun itu sudah dikeluarkan sebelum ini," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Takiyuddin berkata, kompaun bagi kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan fizikal dan tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau merekod butiran diri ketika memasuki premis, ditetapkan kepada RM1,500.

Katanya, tawaran diskaun 50 peratus turut diberikan jika mereka membayar dalam tempoh tujuh hari, dan 25 peratus jika ia dibayar dalam tempoh lapan hingga 14 hari.

Takiyuddin berkata, tiada keperluan untuk individu dikenakan kompaun untuk menggunakan khidmat guaman kerana garis panduan yang dikeluarkan kerajaan hari ini sudah cukup jelas.

"Kalau masih tak puas hati (dengan diskaun ditawarkan), boleh isi borang permohonan pengurangan kompaun dan buat rayuan kepada pegawai di pejabat kesihatan daerah.

"Apa pun, kesalahan tetap kesalahan. Kita kuat kuasakan perkara ini untuk mengawal penularan COVID-19," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan dan polis sudah memaklumkan kepada pegawai dan anggotanya supaya kompaun dikeluarkan sebagai langkah terakhir selepas teguran diberikan.

"Sekarang kita akan wujudkan pasukan penguatkuasaan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang terdiri daripada polis, tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan.

"Mereka akan pakai lilitan lengan bertulis 'Team SOP' dan beri nasihat atau amaran kepada orang awam. Kalau ingkar lagi, baru saman dikeluarkan," katanya.

Related Article