Trending
Nasional

KUIM dinaik taraf universiti penuh

ALOR GAJAH: Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang dinaik taraf menjadi sebuah universiti penuh semalam, kini dikenali sebagai Universiti Melaka atau UniMEL.

Watikah rasmi naik taraf itu disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kepada Exco di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan), Datuk Noor Effandi Ahmad, mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Naib Canselor KUIM, Prof Datuk Dr Mohd Taib Dora bersama pengurusan tertinggi universiti berkenaan.

Universiti itu dalam satu kenyataannya hari ini berkata, pengiktirafan itu akan memacu UniMEL untuk berusaha ke arah membangunkan modal insan yang mahir dalam menggabung jalinkan ilmu bidang pengetahuan sedia ada dengan penggunaan teknologi digital.

"UniMEL juga berkonsepkan pengajian berteknologi digital dengan tema Ilmu Digital Untuk Pembangunan Modal Insan berfokuskan kepada keusahawanan Islam, selari dengan T.E.R.A.S. (Teknologi, Entrepreneurship, Revolusi Industri dan Ekonomi, Antarabangsa, Sejahtera) Melaka.

"Orientasi utamanya adalah berteraskan kolaborasi strategik Universiti-Industri-Komuniti secara disiplin rentas dan silang, demi memastikan pencapaian pembangunan lestari," katanya.

Kenyataan itu menambah, pihak universiti dan kerajaan negeri juga akan bekerjasama bagi meningkatkan jumlah pelajar tempatan dan antarabangsa, seterusnya membantu meletakkan UniMEL dalam 'ranking' institusi pengajian tinggi seluruh dunia, sekali gus menjadikannya satu daripada institusi pendidikan terunggul di Malaysia.

UniMEL yang dulunya KUIM ditubuhkan pada 1994 dan dikenali sebagai Kolej Islam Melaka, adalah sebuah institusi pengajian tinggi milik penuh Kerajaan Melaka.

Sehingga kini universiti itu mempunyai kampus tetap, tenaga pengajar berpengalaman, infrastruktur dan prasarana yang lengkap bersesuaian dengan tarafnya sebagai universiti penuh. – BERNAMA