Trending
Nasional

SMC salur maklumat, hapus salah faham vaksin

KUALA LUMPUR: Pusat Sains Media (SMC) Malaysia bersama akhbar sains, The Petri Dish melancarkan kempen #YakiniVaksin sebagai inisiatif melawan mitos dan salah faham masyarakat mengenai vaksin COVID-19.

SMC Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejayaan jangka masa panjang tindak balas kesihatan awam terhadap pandemik COVID-19 bergantung kepada imuniti penduduk, dikenali sebagai imuniti kelompok atau 'herd immunity'.

Untuk mendapatkan imuniti kelompok, kerajaan menyasarkan untuk memvaksin lebih 80 peratus penduduk atau hampir 27 juta orang pada suku pertama tahun 2022 sebaik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dimulakan akhir Februari lalu.

"Bagaimanapun, program imunisasi hanya akan berjaya apabila terdapat kadar penerimaan dan liputan yang tinggi.

"Walaupun keyakinan global terhadap vaksin COVID-19 semakin meningkat, keraguan dan keengganan menerima vaksin tetap menjadi masalah utama," katanya.

Untuk menangani cabaran ini, SMC Malaysia bersama The Petri Dish melancarkan projek kempen #YakiniVaksin, sebagai kempen kesedaran untuk melawan mitos dan salah faham itu.

Kempen ini turut disokong syarikat farmaseutikal Malaysia, Duopharma Biotech Berhad sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.

Sementara itu, pengasas bersama SMC Malaysia, Tan Su Lin, berkata segelintir rakyat masih mempunyai tahap kepercayaan rendah terhadap vaksin COVID-19 ekoran dimomok pelbagai mitos, teori konspirasi dan salah faham yang tersebar tanpa tapisan terutama di media sosial.

"Kepantasan perkembangan proses penghasilan vaksin COVID-19serta lambakan salah maklumat di media sosial mendorong sesetengah masyarakat berasa sangsi.

"Ketika dunia memerangi wabak COVID-19, usaha memerangi salah fakta adalah cukup kritikal," katanya.

Su Lin berkata melalui inisiatif ini, pihaknya berharap dapat memperkasakan tahap kesedaran orang ramai untuk membezakan antara fakta daripada berita palsu berhubung pengambilan vaksin COVID-19.

"Melalui #YakiniVaksin, penjelasan pakar mengenai vaksin COVID-19 akan dikumpul dan disampaikan melalui pelbagai format seperti penganjuran webinar, penulisan artikel, lembaran fakta dan infografik.

"Ini bagi menangkis salah faham yang lazim berlaku untuk membantu orang awam memahami vaksin itu dengan lebih baik dan semua maklumat akan dikemaskini dalam bahasa yang mudah difahami," jelasnya.

Ketua Pengarang The Petri Dish, Dr Mahaletchumy Arujanan pula berkata sebagai satu-satunya media sains di negara ini, pihaknya bertanggungjawab memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai vaksin dan menyokong program vaksinasi terbesar dan yang paling kritikal dalam sejarah Malaysia.

Bagi Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar, pembabitan pihaknya dalam kempen ini sebagai sokongan terhadap inisiatif kerajaan meningkatkan kesedaran danpengetahuan masyarakat tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Kempen #YakiniVaksin bermula minggu lalu dengan webinar bertajuk 'Kenali Vaksin COVID-19' bersama pakar imunologi Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor DrNorazmi Mohd Nor dan pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman.

Antara salah faham yang terjawab termasuk persoalan adakah vaksin dihasilkan secara tergesa-gesa dan adakah ia selamat diambil serta pengambilan vaksin dalam kalangan wanita hamil.

Orang ramai boleh menonton webinar penuh di sini: https://youtu.be/K1Qb7mHJ46o