Trending
Nasional

213 pegawai, anggota PGA pantau situasi di Raub

KUALA LUMPUR: Seramai 213 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dikerahkan ke Raub, Pahang, bagi menjaga ketenteraman awam di daerah itu berikut kekecohan membabitkan pekebun durian dan anggota penguat kuasa, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata Pasukan Gerakan Udara (PGU) Subang turut digerakkan untuk membuat kawalan dan pemantauan udara di kawasan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Keadaan dan situasi semasa di kawasan itu dilihat terkawal dan berada pada tahap baik.

"Kita akan terus membuat rondaan serta kawalan statik di luar dan dalam kawasan itu," katanya pada BH, hari ini.

Pada Ahad lalu, 18 pekebun durian 'Musang King' dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui ditahan selepas melakukan provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Operasi memusnahkan ladang haram durian Musang King dalam Hutan Simpan Batu Talam itu bermula Ahad hingga 2 Ogos ini membabitkan pelbagai agensi kerajaan termasuk polis.

Difahamkan, kawasan seluas kira-kira 101 hektar itu mempunyai pokok durian Musang King yang sudah mengeluarkan hasil.