Trending
Nasional

Varian Delta sukarkan capai imuniti kelompok

KUALA LUMPUR: Pakar perubatan mengakui usaha negara mendapatkan imuniti kelompok akan terus berdepan kesukaran berikutan varian Delta yang berada pada tahap membimbangkan ketika ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata ia berdasarkan kajian dibuat pakar dari luar negara.

Bagaimanapun, katanya, jika negara berjaya mencapai imuniti kelompok membabitkan 80 peratus populasi, ia bermakna jumlah mereka yang membawa varian Delta akan berkurang.

"Selain itu, mereka yang sudah lengkap menerima suntikan vaksin dan apabila membawa virus itu kepada mereka yang juga sudah divaksin, kesannya tidak akan teruk.

"Ia nanti hanya akan menjadi seperti selsema biasa saja kerana kita sudah menjadi biasa dengan virus itu," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, dilaporkan kajian baharu mengenai varian Delta, mendapati varian dominan berkenaan boleh membiak dalam hidung individu yang sudah mendapat vaksin, sama seperti individu tidak divaksinasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati, varian Delta membiak di hidung orang yang sudah divaksinasi seolah-olah individu berkenaan belum mendapatkan vaksin.

Dr Sharifa Ezat berkata, apabila negara sudah mencapai tahap imuniti kelompok, kemungkinan masyarakat tidak perlu lagi takut pada varian Delta kerana virus sudah berada di luar.

"Ini kemungkinan yang akan berlaku kerana kita sudah boleh hidup dengan virus itu, malah sudah imun terhadap semua virus COVID-19 termasuk varian Delta," katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, ketika ini penyebaran varian Delta amat membimbangkan kerana ia mudah berjangkit, selain sukar dikesan.

Beliau berkata, selain melakukan ujian tambahan untuk mengesan varian itu yang membabitkan kos tinggi, seseorang yang dijangkiti varian Delta juga lambat untuk sembuh.

"Jika seseorang dijangkiti COVID-19 hanya perlu menjalani kuarantin kira-kira 10 hari saja, tetapi mereka yang dijangkiti Delta perlu menjalani kuarantin antara 14 hingga 21 hari.

"Ketika ini agak sukar untuk mengetahui seseorang itu dijangkiti varian Delta kerana ujian calitan memang tidak dapat mengesannya," katanya.

Beliau berkata, varian Delta boleh dianggap ganas kerana ia mudah menjangkiti orang lain terutama mereka yang belum divaksin, sudah divaksin atau berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.

Justeru, katanya, walaupun sudah lengkap dua dos suntikan vaksin, individu itu masih perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) terutama memakai pelitup muka tambahan.

"Dalam keadaan sekarang, jika tiada keperluan keluar rumah, lebih baik jangan berbuat demikian kerana bimbang kita menjangkiti golongan berisiko terutama kanak-kanak yang masih belum mendapatkan suntikan vaksin," katanya.