Trending
Nasional

Merdeka 118 mercu tanda integrasi masa depan

KUALA LUMPUR: Menara Merdeka 118, milik PNB Merdeka Ventures  Sdn. Berhad (PMVSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh  Permodalan Nasional Berhad  (PNB), bukan sahaja akan menjadi  menara tertinggi di Asia Tenggara  apabila siap sepenuhnya pada tahun 2022, bahkan ia bakal menjadi  tarikan utama pencakar langit di  ibu negara. 

Terletak berhadapan Stadium Merdeka, lokasi yang mencatat sejarah terpenting dalam pengisytiharan kemerdekaan negara pada  1957, nama Merdeka telah dipilih  bagi menara ikonik ini sebagai penghormatan bersempena peranan signifikan lokasi itu.

Reka bentuk puncak utama menara setinggi 118 tingkat ini turut memiliki catatan cerita menarik di sebaliknya. 

Ia simbolik kepada bentuk tangan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman, yang dijulang tinggi ketika melaungkan perkataan keramat 'Merdeka' semasa pengisytiharan kemerdekaan negara, 64 tahun yang lalu.

Bahagian luar menara yang memiliki pelbagai segi mirip potongan berlian pula menandakan integrasi dan kepelbagaian kaum dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata sebagai pemilik tunggal Stadium Merdeka dan Stadium Negara sejak lebih dua dekad lalu, PNB melihat kawasan ini berpotensi dibangunkan sebagai pusat dagang, budaya dan warisan baharu di ibu negara.

Beliau berkata, gabungan seni bina ikonik dan warisan serta pelbagai program yang dirancang dengan teliti bukan sahaja akan menjadikan Merdeka 118 destinasi global yang penting malah lokasi strategik dan popular negara, sesuai dengan statusnya yang dibina di atas tapak bersejarah ini.

PNB sedar akan potensi tapak warisan ini yang menyediakan tarikan unik sebagai asas kukuh bagi pembangunan ikonik Merdeka 118.

"Merdeka 118 dikelilingi pelbagai warisan yang membentuk asas sejarahnya seperti Stadium Chin Woo iaitu pusat sukan pertama negara dengan kolam renang bersaiz Olimpik, serta Victoria Institution, sekolah terulung negara yang terletak bersebelahan lokasi tersebut."

"Malah, dengan hanya berjalan kaki, pengunjung akan dibawa ke Merchant's Lane di Chinatown yang kaya dengan budaya di samping menyediakan pelbagai pilihan tempat menjamu selera."

"Kampung Attap yang terkenal sebagai pusat kreatif di kawasan ini juga terletak berhampiran Merdeka 118 dan kesemua lokasi strategik ini dijangka akan menjadi destinasi popular di negara ini," katanya.

Foyer Stadium Merdeka

Usaha pemuliharaan 

Menurut Ahmad Zulqarnain, seiring dengan pembinaan menara Merdeka 118, PNB telah melaksanakan kerja pemuliharaan untuk mengembalikan Stadium Merdeka ke keadaan asalnya seperti pada tahun 1957.

Dengan kerjasama Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara (JWN), Stadium Merdeka telah diperbaiki serta dibaik pulih dan pada masa yang sama mengekalkan ciri keasliannya.

Antara usaha yang telah dilakukan termasuk mengembalikan semula kapasiti tempat duduk daripada 45,000 unit yang disediakan untuk menampung jumlah penonton pada Sukan SEA 1989, kepada 20,000 unit sahaja sepertimana kapasiti asalnya. 

Pengurangan kapasiti ini diharap memberi keselesaan kepada penonton yang hadir di stadium nanti.

Selain itu, kerja pembinaan semula papan paparan dan pemuliharaan padang bola kepada keadaan asal juga telah dilaksanakan.

Usaha baik pulih dan pemuliharaan ini tentunya menjelaskan salah faham sesetengah pihak yang beranggapan bahawa Stadium Merdeka dan Stadium Negara telah dirobohkan untuk memberi laluan bagi projek pembinaan Merdeka 118, sedangkan hakikatnya dua mercu tanda bersejarah ini telah dikekalkan dan dipulihara bagi kegunaan generasi akan datang.

"Dengan usaha pemuliharaan teliti yang dilaksanakan, Stadium Merdeka telah meraih Anugerah Kecemerlangan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk Program Pemuliharaan Warisan Kebudayaan (Asia Pasifik) pada tahun 2008."

"Untuk Stadium Negara pula, satu kajian kemungkinan (feasibility study) sudah dilakukan bagi mengenalpasti cara terbaik untuk menjadikannya aset komersial dan pada masa yang sama mengekalkan seni bina asal stadium."

"PNB juga sedang mengkaji struktur dan kegunaan Stadium Negara dengan lebih terperinci dan merancang untuk mengaktifkan semula gelanggang tertutup pertama negara ini dengan menjadikannya stadium bertaraf dunia untuk acara sukan dan konsert hiburan dalam masa terdekat," katanya.

Penyatuan pakar 

Ahmad Zulqarnain berkata, PNB juga komited untuk melabur sehingga RM500 juta bagi membangun dan menaik taraf infrastruktur baharu dan sedia ada di sekitar presint Merdeka 118 bagi memastikan kesalinghubungan dan aliran lalu lintas kekal lancar.

Ini termasuk pembinaan Terowong Belfield yang akan menyediakan laluan terus ke pembangunan Merdeka 118 yang boleh diakses dari Lebuhraya Persekutuan dan Jalan Damansara.

"PMVSB turut bekerjasama dengan pasukan perunding antarabangsa, arkitek, jurutera dan pakar tempatan dalam melaksanakan perancangan infrastruktur sekitar presint Merdeka 118."

"Penyatuan kepakaran tempatan dan antarabangsa ini tidak hanya bertujuan meningkatkan

akses jalan raya, laluan pejalan kaki dan pengangkutan awam ke presint, tetapi lebih utama lagi memastikan Merdeka 118 menjadi pembangunan bertaraf dunia,"katanya.

Ahmad Zulqarnain berkata, selain usaha pemuliharaan dan kesalinghubungan, PNB percaya pembabitan komuniti penting bagi memastikan pembangunan ini dapat diintegrasi lantas mewujudkan kesinambungan dengan masyarakat sekeliling.

Untuk itu, PNB telah melancarkan Program Geran Komuniti Merdeka 118. Inisiatif ini diharap

akan memacu transformasi Pusat Bandar Lama Kuala Lumpur melalui pemerkasaan komuniti setempat di samping pembangunan perniagaan, institusi dan organisasi masyarakat yang berdaya tahan.

"Seiring dengan visi kami untuk menjadi destinasi mercu tanda, penting bagi kami untuk memastikan pembangunan presint Merdeka 118 diharmonikan dengan komuniti secara meluas."

"Inisiatif ini dijangka mampu menarik jumlah pelawat yang lebih tinggi ke presint Merdeka 118 di samping memberi impak ekonomi yang positif kepada perniagaan serta menjadikan Merdeka 118 sebahagian daripada kehidupan masyarakat sekeliling," katanya. 

Menurut Ahmad Zulqarnain, sehingga kini, menara Merdeka 118 telah 81% siap dibina dengan pembinaan lantai terakhir struktur bumbung mencapai tingkat 118 manakala fakad kaca menara mencapai tingkat 108.

Projek pembinaan Merdeka 118 katanya, terbahagi kepada tiga fasa. Fasa pertama meliputi pembinaan menara Merdeka 118 dan infrastruktur kawasan sekitarnya manakala fasa kedua merangkumi pembinaan pusat beli-belah dan taman linear Merdeka Boulevard at 118. 

Fasa ketiga pula merangkumi tiga menara kediaman yang akan dibina sekeliling menara Merdeka 118.

"Berikutan penangguhan kerja pembinaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), fasa pertama dan kedua dijangka siap menjelang suku ketiga tahun hadapan dan fasa ketiga pembangunan dijangka selesai selewat-lewatnya pada tahun 2026," katanya.

Little M, Pusat Didikan Kanak-Kanak oleh PNB

Masjid Merdeka

Komponen-komponen Merdeka 118

Apabila siap dibina nanti, menara Merdeka 118 akan turut memiliki dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara, The View at 118, yang akan menyajikan pemandangan 360 darjah panorama Kuala Lumpur.

Di luar pusat beli-belah yang menyediakan ruang niaga seluas 1 juta kaki persegi, terdapat juga Merdeka Boulevard at 118 iaitu taman linear berkonsepkan ruang terbuka yang dihiasi landskap bertemakan air.

Sementara itu, di hujung taman linear, pengunjung akan berpeluang mengambil swafoto berlatarkan menara Merdeka 118 di bangunan anjung tinjau, Look at 118. 

Di sini juga, sebuah muzium tekstil yang menawarkan visual interaktif mengenai dunia tekstil Melayu dijangka menjadi tarikan bukan sahaja pengunjung tempatan bahkan pelawat antarabangsa yang ingin mendalami sejarah seni negara.

Selain itu, Ahmad Zulqarnain juga berkongsi mengenai Little M, sebuah bangunan khas, menawarkan perkhidmatan pendidikan awal berkualiti tinggi untuk kira-kira 400 kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun turut bakal dibina kelak.

Little M akan dibina di Jalan Stadium bersebelahan Merdeka 118 dan ciri-ciri unik bangunan ini ialah bumbungnya yang bukan sahaja direka untuk dimanfaatkan sebagai tapak kurikulum luar darjah kanak-kanak tetapi menawarkan pemandangan panorama presint Merdeka 118 dan kawasan sekitarnya.

"Masjid Merdeka yang mempamerkan imej ikonik sesuai identiti keseluruhan Merdeka 118 pula dibina bagi memenuhi keperluan beribadah dan mampu memuatkan sehingga 3,000 jemaah pada satu-satu masa," katanya.

Menariknya, menara Merdeka 118 juga akan menjadi menara pertama di negara ini yang disasarkan untuk mencapai tiga akreditasi platinum melalui pengiktirafan kelestarian antarabangsa iaitu Leadership in Energy and Environmental Design (LEED), Green Real Estate (GreenRE) dan Green Building Index (GBI).

LEED diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berpusat di Amerika Syarikat manakala GreenRE dan GBI berpusat di Malaysia dan merupakan penilaian untuk persekitaran hijau Malaysia.

"Sejak awal fasa pembangunan lagi, strategi bagi mengurangkan penggunaan dan meningkatkan kecekapan tenaga sudah diterapkan malah menara ini dibina berlandaskan piawaian International Green and Efficiency Standards (LEED Platinum) yang memastikan penggunaan sumber tenaga secara optimum.

"Strategi ini selaras hasrat menjadikan Merdeka 118 sebagai 'bangunan masa hadapan' dan kekal lestari sekali gus menggalakkan penggunaan tenaga lebih cermat.

"Usaha secara keseluruhan tentunya akan memberi impak yang besar dalam meningkatkan taraf kelestarian di tempat kerja," katanya.

Dua firma arkitek tempatan iaitu RSP Architects Sdn Bhd (RSP KL) dan GDP Architects Sdn Bhd (GDP) juga berperanan penting di dalam pelaksanaan projek ini.

RSP KL bertanggungjawab bagi perincian dalaman pembangunan menara Merdeka 118 manakala GDP pula terbabit dalam pembangunan pusat beli-belah, Masjid Merdeka dan Little M.

Hafiz Ismail, Pengarah GDP

Masjid Merdeka memiliki ciri kesenian Islam Vaulted Roof dan merupakan sebuah masjid kontemporari moden tanpa sebarang kubah tradisional atau ciri vernakular sekaligus menjadikannya unik dan berbeza dari masjid lain. 

Bentuk bumbungnya yang melengkung direka bagi mempamerkan imej ikonik, dan diinspirasikan daripada reka bentuk unik dan moden menara Merdeka 118. 

Antara cabaran dalam mereka bentuk Masjid Merdeka ialah memastikan ia memiliki identiti tersendiri dan pada masa sama berkualiti tinggi seiring konsep keseluruhan pembangunan ikonik ini. 

Harapan kami adalah supaya reka bentuk keseluruhan pembangunan ini dapat mencerminkan kepentingan sejarah kemerdekaan negara ini.

Ar Hud Bakar, Pengarah Prinsipal dan Reka Bentuk RSP Architects Sdn Bhd (RSP KL)

RSP KL bertanggungjawab bagi perincian dalaman menara Merdeka 118 dan podium yang menempatkan dewan bankuet berserta teater. 

RSP KL turut membina Jambatan Galloway yang menghubungkan pejalan kaki dari Jalan Galloway ke menara utama selain mereka bentuk sebuah menara kediaman bersebelahan menara Merdeka 118. 

RSP KL juga mereka bentuk bangunan Look at 118 iaitu anjung tinjau yang akan membolehkan pengunjung menikmati keunikan reka bentuk menara Merdeka 118.

Ar Ahmad Farid Baharuddin, Pengarah RSP KL 

Cabaran utama adalah reka bentuk unik untuk Look at 118 dan pada masa sama melengkapi komponen Merdeka 118 yang lain. 

Look at 118 mempunyai sebuah fakad kaca dengan ketinggian 10 meter untuk memberikan pengunjung pemandangan Merdeka 118 secara menyeluruh. 

Sebanyak lima edisi rekaan dihasilkan bagi memenuhi spesifikasi yang dikehendaki dan akhirnya rekaan terakhir mendapat persetujuan. 

Disebabkan struktur dan lokasinya yang strategik di taman linear Merdeka Boulevard at 118, Look at 118 boleh dijadikan sebagai titik pertemuan utama bagi pengunjung.

Untuk maklumat lanjut mengenai ruang pejabat di menara Merdeka 118, sila hubungi  Siva Shanker di talian 019-3372852 / sivashanker@rahim-co.com (Rahim & Co International Property Consultants) atau Quiny Lee di talian 016-2250725 / quiny.lee@ap.jll.com  (JLL).

 Sebarang pertanyaan berkaitan ruang beli-belah di 118 Mall,  sila hubungi Zuraidah Khalil di talian 03-2161 7228 / siti.zuraidah@ntl.my (Nawawi Tie Leung) atau Wong Jia Jin di talian +852 9065 4538 / jiajin.wong@husband-retail.com  (Husband Retail).