Trending
Nasional

Zaman Khan meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Penjara, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pada jam 10.15 pagi ini.

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd Hanif Omar, berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Bukit Aman untuk disembahyangkan.

"Mengikut maklumat daripada seorang anak Allahyarham, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Asar.

"Namun, perkara itu masih dibincangkan dalam kalangan ahli keluarga Allahyarham," katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke IJN kerana mempunyai masalah tekanan darah dan jangkitan kuman.

Zaman Khan pernah memegang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 1993 dan terbabit kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu dikenali sebagai Bentong Kali.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari tahun 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Penjara pada tahun 1997.