Trending
Nasional

Pahang benar jemaah tak divaksin solat Jumaat, fardu

KUANTAN: Kerajaan Pahang membenarkan kehadiran jemaah yang belum menerima suntikan vaksin menunaikan solat Jumaat dan fardu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu, berkuat kuasa semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kebenaran solat Jumaat dan fardu itu di masjid negeri, masjid daerah, masjid kariah dan surau kebenaran solat Jumaat.

Katanya, kehadiran jemaah mengikut keluasan kapasiti masjid atau surau dan tertakluk kepada kemampuan serta kawalan.

"SOP baharu ini berkuat kuasa semalam, manakala SOP lengkap kepada semua pentadbir masjid dan surau di Pahang akan disediakan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

"Kehadiran jemaah adalah terbuka kepada semua sama ada yang sudah divaksin atau belum," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengenai aktiviti pengajian ilmu di masjid dan surau, beliau berkata, kuliah Maghrib dan Subuh saja dibenarkan, manakala yang lainnya perlu mendapat kebenaran JAIP.

"Aktiviti jamuan di masjid dan surau perlu mengikut SOP semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa.

"Majlis akad nikah boleh dilaksanakan di masjid negeri dan daerah dengan kebenaran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

"Bagi pengurusan jenazah di masjid dan surau dibenarkan mengikut SOP Pengurusan Jenazah Bukan Pesakit COVID-19 yang disediakan.

"Kerajaan negeri juga masih tidak membenarkan imam, khatib dan penceramah dari luar Pahang," katanya.