KUANTAN: Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist, Kuantan, Maryam Muzamir mengharumkan nama negara selepas meraih tiga pingat emas dalam Pertandingan Ciptaan, Inovasi Antarabangsa Keenam di Toronto, Kanada bulan lalu.
Maryam beroleh kejayaan itu selepas mencipta inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan YAM 2.0.
Murid berumur 11 tahun itu terkejut apabila dimaklumkan meraih tiga pingat emas hasil inovasi berkenaan.
"Saya gembira kerana kejayaan ini menaikkan semangat saya. Saya berterima kasih kepada keluarga yang memberikan sokongan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, bapa Maryam, Prof Madya Dr Muzamir Hasan berkata, kejayaan Maryam sukar dijangkakan kerana turut disertai peserta pelbagai peringkat umur dari 70 negara.
Bagaimanapun, beliau tetap menghantar penyertaan kerana yakin dengan inovasi yang dihasilkan anak sulungnya itu.
"Alhamdulillah, Maryam berjaya bukan meraih satu emas, malah tiga emas pada penyertaan pertamanya di luar negara.
"Pada tahun ini dan tahun lalu, Maryam memenangi pingat emas bagi kategori Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX).
"Sebenarnya, idea menghasilkan makanan haiwan ini tercetus kerana sering mengunjungi restoran makanan laut di sini.
"Daripada kulit udang atau siput sedut itu dibuang, sebaiknya ia dikitar semula dan dijadikan bahan makanan haiwan. Oleh itu terhasil makanan haiwan dinamakan YAM 2.0," katanya.