Trending
Nasional

Lebih 70 peratus peminjam PTPTN lunas bayaran

KUALA LUMPUR: Hampir 800,000 atau 77.75 peratus peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah menyelesaikan pinjaman mereka.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata sebanyak RM15.5 bilion berjaya diterima melalui pembayaran balik pinjaman PTPTN.

Beliau berkata, kira-kira 400,000 peminjam membuat bayaran balik secara tetap mengikut jadual pembayaran, manakala kira-kira 700,000 individu tidak konsisten.

"Selain itu, seramai 2.4 juta peminjam menamatkan pengajian dan sepatutnya PTPTN mula menerima hampir RM24.6 bilion sebagai bayaran balik, setakat 30 September lalu.

"Model pembiayaan digunakan PTPTN sebenarnya bergantung kepada prestasi bayaran balik sebagai sumber utama dana, bagi membiayai pinjaman sedia ada dan pembiayaan baharu.

"Kita mendapati pemberian insentif seperti diskaun bayaran balik berjaya menarik balik minat peminjam membuat bayaran balik kepada PTPTN," katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai status terkini pembayaran balik pinjaman PTPTN dan kemampuan memberi pinjaman masa depan.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Hassan (WARISAN-Papar) mengenai tindakan perundangan dikenakan kepada peminjam, Noraini berkata, PTPTN sentiasa bersedia berbincang bagi membantu peminjam membuat bayaran balik mengikut keupayaan kewangan individu terbabit.

Selain itu, beliau memaklumkan, tindakan perundangan pilihan terakhir yang akan dipertimbang PTPTN selepas semua usaha membantu peminjam membuat bayaran balik, gagal.

"Bagaimanapun, dalam tempoh tersebut (tindakan perundangan) juga, PTPTN memang sentiasa terbuka dan prihatin atas setiap kekangan dihadapi peminjam.

"Peminjam boleh hubungi PTPTN bila-bila masa untuk membincangkan kaedah terbaik dan kemampuan mereka dalam membuat bayaran balik," katanya.

Sementara itu, Noraini berkata, beberapa inisiatif ditawarkan bagi menggalakkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman PTPTN, antaranya diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

"Diskaun 12 peratus jika peminjam bayar balik 50 peratus baki hutang, manakala 10 peratus jika bayaran balik dibuat melalui potongan gaji atau debit terus.

"PTPTN ada menyediakan pelbagai platfiorm bagi memudahkan peminjam membuat bayaran balik, termasuk melalui kaunter dan perbankan dalam talian," katanya menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).