KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri menasihatkan semua majikan atau individu yang mahu menggajikan pekerja asing untuk tidak menggunakan khidmat ejen.
Menteri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia berikutan kos bayaran kepada ejen pekerja asing yang mencecah RM20,000 untuk membawa masuk pekerja asing.
"Majikan tak perlu gunakan ejen. Boleh pergi sendiri, ambil bawa balik dan berurusan dengan imigresen.
"Dalam urusan dengan imigresen, hanya perlu bayar fi mendapatkan Pas Lawatan Pekerja Sementara (PLKS) untuk membenarkan mereka bekeja dalam negara. Kos lain adalah untuk ejen.
"Kita minta kalau boleh semua rakyat tidak perlu menggunakan ejen, kita boleh buat secara dalam talian dan ia lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 untuk diluluskan selepas bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat, hari ini.
Hamzah berkata, kos bayaran kepada ejen pekerja asing yang mencecah RM20,000 untuk membawa masuk pekerja asing juga dikaitkan dengan penawaran dan permintaan.
"Jika ada permintaan sampai sanggup bayar RM20,000, itu menjadikan ejen naikkan dari harga terdahulu...15 tahun dahulu hanya RM1,500 naik RM5,000 kemudian RM10,000 dan akhir akhir ini RM20,000.
"Kita sedang fikirkan bagaimana untuk meneliti perkara ini dan jejak penerimaan wang yang dibayar kepada mereka melalui bank.
"Jika tidak menggunakan ejen, kos sebenarnya adalah sangat minimum. Masalahnya ialah bila menggunakan ejen kos yang kita bayar itu adalah yang dibayar kepada ejen," katanya.