Trending
Nasional

Jangan diskriminasi segmen umrah

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen–Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) meminta kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mengambil tindakan tergesa-gesa termasuk kemungkinan untuk menangguhkan semua perjalanan menunaikan umrah.

Naib Presiden MATTA, Mohd Azri Abd Razak, berkata tindakan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) kepada jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi, sewajarnya juga diperluas kepada semua pengembara.

"Sebarang tindakan atau kemungkinan daripada pihak KKM bagi membendung penularan COVID-19 terutamanya varian Omicron yang sekarang dikatakan menular dalam kalangan jemaah umrah, harus diperketatkan SOP.

"Berbanding membuat sebarang tindakan yang bakal merugikan penggiat industri pelancongan termasuk agensi pelancongan dan penerbangan, malah jemaah umrah sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

Pihaknya sebelum ini sudah berbincang dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkenaan SOP pembukaan semula umrah, yang mana semua SOP yang sudah ditetapkan oleh MOTAC dan KKM dipatuhi pihak agensi pelancongan.

"SOP yang dipatuhi ini termasuklah pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi tempoh 72 jam sebelum berlepas dan 48 jam selepas pulang jemaah dikuarantinkan di Makkah sekiranya positif serta perlaksanaan ujian saringan COVID-19 sekali lagi sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Selain memohon jemaah umrah untuk melakukan pengasingan kendiri di rumah melalui aplikasi KKM. Segala langkah pencegahan sudah dipatuhi oleh pihak agensi pelancongan," katanya.

MATTA menyokong keperluan dos penggalak untuk jemaah umrah bagi melindungi diri dari dijangkiti.

Pihak KKM juga harus memperkemaskan sistem di KLIA supaya jemaah tidak perlu menunggu lama di balai ketibaan lapangan terbang kerana semua data sudah dikemaskini oleh semua jemaah sewaktu di tanah suci lagi.

Azri turut menyuarakan persoalan mengapa umrah menjadi sasaran sedangkan jumlah varian Omicron di United Kingdom jauh lebih banyak.

Beliau juga merujuk kepada kenyataan dari Centre for Disease Control and Pervention (CDC), USA yang mengatakan bahawa kesan Omicron adalah lebih lemah berbanding delta. Omicron di Saudi mencatatkan jumlah kes yang jauh lebih rendah berbanding negara lain.

"Umrah adalah ibadah suci, hak memilih harus di tangan jemaah. Ia mustahak untuk pihak kerajaan perketatkan SOP, PCR 48 jam setiap hari di Malaysia, dan meninjau pergerakan di Malaysia," katanya.

Justeru katanya, MATTA merayu pihak berwajib menjalankan kajian lebih terperinci demi kepentingan rakyat bagi memacu ekonomi sekaligus membolehkan industri umrah dapat terus berkembang.

"Penangguhan ibadah umrah sebelum ini sudah mengakibatkan banyak agensi pelancongan terpaksa gulung tikar, pembukaannya yang pada Oktober membantu merancakkan semula ekonomi yang tekesan akibat penutupan sempadan," katanya.