Trending
Nasional

Zahid akur keputusan mahkamah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi, di sini, yang mengarahkan Presiden UMNO itu untuk membela diri atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Meskipun ia tidak memihak kepada beliau, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, pihaknya akan tetap menghormati keputusan dan prosedur mahkamah.

Justeru, bekas Timbalan Perdana Menteri itu bersama pasukan peguam beliau akan meneruskan usaha membela dirinya mengikut prosedur ditetapkan.

"Saya secara peribadi serta peguam saya akur dengan keputusan mahkamah seperti yang dibacakan hakim kerana itu hak mutlak hakim, dan keakuran ini tidak terhenti pada hari ini.

"Sebaliknya, apabila pembelaan diri diputuskan, pasukan guaman saya akan menjalankan tugas mengikut prosedur yang telah ditentukan mahkamah.

"Pasukan peguam saya akan meneruskan usaha guaman ini sebagaimana ditetapkan mahkamah tadi, dengan tarikh berkaitan juga sudah ditetapkan," katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengambil sebarang soalan daripada wartawan, dan terus berlalu meninggalkan mahkamah selepas membuat kenyataan ringkas itu.

Suasana di luar Mahkamah Tinggi juga kekal tenang berikutan keputusan itu, dengan puluhan penyokong Ahmad Zahid berkumpul secara aman dan memberi kata-kata semangat kepadanya ketika beliau bergerak masuk ke dalam kereta.

Sebaik saja kereta yang membawa Ahmad Zahid keluar dari kawasan Mahkamah Tinggi, semua penyokongnya yang hadir dengan berbaju putih dilihat turut bersurai.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk membela diri atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan berkenaan.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah menetapkan keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti dikemukakan pendakwaan.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman serta sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Beliau juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada kegiatan haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Berita berkaitan:

  • Kronologi pendakwaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
  • Kes Zahid tak jejas peluang UMNO dalam PRN Johor
  • 'Selepas diperintah bela diri, peguam bela Zahid Hamidi yakin menang'
  • Ahmad Zahid pilih bela diri melalui keterangan bersumpah
  • Penyokong Zahid di mahkamah kekal tenang
  • 'Zahid Hamidi akan bela diri secara bersumpah, dari tempat saksi'
  • 'Zahid Hamidi diarah bela diri 47 tuduhan rasuah dan jenayah'
  • Hakim Sequerah tentukan nasib Ahmad Zahid pagi ini
  • Related Article