Trending
Nasional

Malaysia gesa akses saksama kepada keperluan menentang COVID-19

KUALA LUMPUR : Malaysia menggesa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta negara anggotanya memastikan pengagihan yang saksama terhadap akses bekalan penting yang diperlukan dalam usaha untuk menghentikan penularan COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia termasuk bekalan vaksin, ujian penjujukan serta terapeutik.

"Tanpa menyelesaikan kegagalan besar kemanusiaan ini, kemungkinan lebih banyak varian boleh muncul apabila virus itu merebak kepada sebahagian besar penduduk dunia yang masih belum divaksinasi," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO Sesi Ke-150 di Geneva, Switzerland petang tadi waktu Malaysia.

Khairy bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta pegawai kanan dari kementeriannya kelmarin berlepas ke Geneva, bagi mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat berkenaan yang bermula hari ini sehingga Sabtu.

Khairy berkata, Malaysia sudah melaksana tindak balas secara teliti dan berkadar dalam mengawal penularan COVID-19 termasuk varian baru Omicron yang cepat menular dalam masyarakat, dengan mengelak tindakan sekatan lebih keras terhadap penduduknya.

"Kami sudah melaksanakan strategi mitigasi untuk membendung wabak sambil memperlahankan gelombang Omicron yang akan datang tanpa mengenakan sekatan keras atau membebankan sistem penjagaan kesihatan kami.

"Ketika kita menuju ke hadapan ini, kadangkala dengan strategi yang berbeza, suatu konsesus normatif mengenai bagaimana kita semua boleh 'hidup dengan COVID-19' adalah perlu," katanya.

Khairy berkata, memasuki tahun ketiga pandemik melanda dunia, melanjutkan sekatan dan penutupan sempadan seharusnya tidak lagi menjadi pilihan seiring kemajuan vaksin, kewaspadaan dan pemerkasaan komuniti kini lebih penting dalam mengurus pandemik ini.

Beliau berkata, negara anggota juga perlu berkongsi dan memperkasakan satu sama lain dengan sebaiknya amalan dalam menggunakan teknologi.

"Ramai antara kita sudah membangunkan risikan kecerdasan buatan (AI) untuk pengesanan kontak, kemudahan kuarantin, bukti digital ujian dan vaksinasi. Kita perlu mempamerkan amalan terbaik penggunaan digital ketika pandemik," katanya.

Pada akhir ucapannya, Khairy menyatakan gesaan Malaysia supaya faedah kewangan yang diperoleh WHO diedarkan secara secara saksama dan dikongsi di semua peringkat organisasi.

Related Article