Trending
Nasional

Guru, kakitangan KEMAS berpolitik 'kembalikan' peraturan lama

GUA MUSANG: Kebenaran kepada guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terbabit dalam politik adalah bersifat 'mengembalikan' semula peraturan lama.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kebenaran itu tidak menimbulkan sebarang masalah kerana ia telah diamalkan sebelum ini.

Beliau berkata, guru serta penyelia KEMAS bukan kategori pangkat gred DG dan mereka dibenarkan berpolitik sebagaimana yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Guru KEMAS tiada masalah dari dahulu untuk tebabit dalam politik, tetapi pada zaman PH (Pakatan Harapan) dia keluarkan satu pekeliling (melarang), sekarang bukan zaman PH, macam dahulu baliklah sebenarnya." katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini berkata keputusan itu dibuat bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini mereka dilarang untuk berpolitik.

Bagaimanapun, katanya ia tertakluk kepada peraturan jabatan masing-masing dan sekiranya mereka berpolitik sehingga mengabaikan tugas, mereka boleh diambil tindakan.

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, isu pembabitan guru dalam politik bukanlah perkara baharu.

"Sebenarnya dari dahulu guru-guru boleh terbabit dengan politik dan di zaman PH keluarkan pekeliling dan hentikan terus kalau siapa yang pegang jawatan akan diambil tindakan, sedangkan dahulu tidak ada macam itu.

"Kalau sebut parti politik, maksudnya aktif dalam semua parti politik," katanya.

Beliau yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, kebenaran itu bagaimanapun sedikit berlainan dengan guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan yang mempunyai struktur perjawatan yang membabitkan jawatan di peringkat pengurusan.

"Ini bermaksud guru-guru yang tidak memegang jawatan pengurusan, guru-guru ini adalah paling ramai sekali adalah dari DG41 akan naik hingga ke DG54 dan ke Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA).

"Dalam perkhidmatan tidak ramai guru yang boleh naik hingga ke jawatan JUSA disebabkan tidak banyak perjawatan itu dan mereka akan berhenti di gred DG54.

"Namun jika berada di gred DG54 dan bertugas sebagai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) atau pengetua sekolah atau bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) itu ada masalah sedikit jika hendak memegang jawatan dalam politik disebabkan mereka ada jawatan yang dipegang," katanya.

Related Article