Trending
Nasional

Bantuan bina rumah atas tanah sendiri

KUALA TERENGGANU: Penduduk di Hulu Terengganu yang memiliki tanah sendiri tetapi tidak mampu membina kediaman sendiri ditawarkan bahan binaan secara percuma.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, berkata kos untuk pembinaan kediaman perlu ditanggung sendiri oleh penduduk.

"Kita hanya akan membekalkan bahan binaan seperti kayu, batu-bata, simen, pasir besi. Penduduk yang memiliki tanah sendiri tetapi tidak mampu membina kediaman diminta mengemukakan permohonan di pejabat Parlimen Hulu Terengganu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian ketika mengulas terdapat penduduk di daerah Hulu Terengganu yang memiliki tanah sendiri tetapi terpaksa menyewa kediaman susulan tidak mampu untuk membina kediaman sendiri.

Jelasnya, jumlah peruntukan bahan binaan akan diluluskan bergantung kepada keluasan kediaman terutama hasil laporan tukang rumah.

"Kita tidak menyediakan bajet khusus, sebaliknya bergantung kepada peruntukan dikhaskan kerajaan kepada ahli parlimen.

"Kita anggarkan perbelanjaan untuk menyediakan bantuan bahan binaan bagi setiap rumah dianggarkan bernilai antara RM20,000 dan RM30,000," katanya.

Rosol berkata, semua permohonan untuk bantuan bahan binaan akan menjalani proses semakan bagi mengelak berlakunya pertindihan bantuan.

"Kita dimaklumkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) dan pejabat pembangunan Dewan Undangan negeri (DUN) juga ada menawarkan kemudahan itu," katanya.

Related Article