Trending
Nasional

28 bekas hakim, 7 balu saman kerajaan isu pencen

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia serta dua yang lain disaman 35 pesara hakim termasuk tujuh balu dan tanggungan mereka kerana didakwa gagal melaraskan kenaikan pencen dan faedah yang diterima sejak tahun 2015.

Individu terbabit yang bertindak selaku plaintif termasuk bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff; bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan Tan Sri Norma Yaakob; dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yunos.

Kesemua plaintif memfailkan saman pemula itu minggu lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Chooi & Company + Cheang & Ariff dengan menamakan Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan pertama hingga keempat.

Dalam saman pemula itu, plaintif memohon perisytiharan bahawa kerajaan gagal menetapkan, peratusan kenaikan yang lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain mengikut seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45), melalui perintah dalam Warta.

Menurut plaintif, kerajaan gagal melaksanakan pelarasan itu sebaik sahaja kenaikan gaji hakim dan pesuruhjaya kehakiman yang sedang berkhidmat mengikut Peraturan-Peraturan Saraan Hakim (Pindaan Jadual Pertama dan Kelima) yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2015.

Plaintif berkata, ia secara berterusan mengubah pencen dan faedah lain sehingga merugikan mereka, yang seterusnya melanggar Perkara 125(7) yang dibaca bersama Perkara 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka turut memohon perintah supaya Perdana Menteri dan Jemaah Menteri hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan yang lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971.

Selain itu, mereka turut memohon perintah bahawa defendan hendaklah membayar amaun yang mereka masing-masing berhak sejak 1 Julai 2015 dengan memakai peratusan kenaikan yang lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun ke atas pencen dan faedah lain.

Turut dipohon ialah perintah bahawa defendan hendaklah membayar secara sekali gus amaun yang mereka masing-masing berhak bagi tempoh antara 1 Julai 2015 dan tarikh penghakiman.

Melalui saman itu plaintif berkata, mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang sudah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim yang masih berkhidmat dan disemak secara berperingkat dari masa ke semasa.

Menurut plaintif, cara pengiraan pelarasan itu dinyatakan dalam Jadual Ketiga dan Keempat akta berkenaan, tetapi ia dipadamkan daripada akta menyebabkan hak mereka terjejas apabila gaji hakim yang sedang berkhidmat dinaikkan berkuat kuasa daripada 1 Julai 2015.

Plaintif berkata, mengikut peruntukan Seksyen 15B, pencen mereka akan diselaraskan secara automatik sejajar dengan kenaikan gaji hakim yang masih berkhidmat, tetapi peruntukan Seksyen 15B(1) (selepas pindaan dan dikira secara retrospektif), pencen hakim bersara diselaraskan setiap tahun dengan kenaikan dua peratus dan tidak lagi mengambil kira kenaikan gaji yang diterima hakim yang masih berkhidmat.

"Keadaan ini menyebabkan mana-mana hakim yang dilantik sebelum 1 Januari 2014 akan menerima pencen lebih rendah daripada yang sepatutnya," kata plaintif.

Plaintif berkata, mengikut Perkara 125(7) yang dibaca bersama Perkara 125(9) Perlembagaan Persekutuan, hak pencen seseorang secara mandatori dihalang daripada diubah sehingga merugikannya selepas pelantikannya.

Plaintif berkata, dengan itu kesemua defendan bertanggungjawab membayar pencen dan faedah dengan kenaikan melebihi dua peratus setiap tahun.

Related Article