Trending
Nasional

Hasni dahului 263 penerima darjah kebesaran Hari Wilayah Persekutuan 2022

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mendahului senarai 263 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022, hari ini.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hasni dianugerahkan Darjah Kebesaran Pangkat Pertama, iaitu Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Penganugerahan itu adalah pengiktirafan kepada sumbangan besar Johor terhadap kemajuan Wilayah Persekutuan dan peranan penting yang dimainkan Hasni dalam melaksanakan pelbagai inisiatif merancakkan pemulihan ekonomi negara serta memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Seterusnya, 15 individu pula dianugerahkan darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri; Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk (59); Johan Mahkota Wilayah (JMW) (48); Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) (53); Ahli Mahkota Wilayah (AMW) (34) dan Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW) (53).

Antara penerima SMW ialah Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon; Peguam Cara Negara, Datuk Seri Abdul Razak Musa; dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff.

Selain itu, Pengerusi ICT Zone Asia Berhad, Datuk Seri Ng Thien Phing; Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia, Datuk Seri Windsor Paul John; serta Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Penerima PMW pula meliputi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya; serta Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Di samping itu, penerima PMW dalam kalangan pegawai awam dan badan berkanun termasuklah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Maziah Che Yusoff; Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Datuk Rubiah Awang; dan bekas Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Ng Chin.

Turut menerima darjah kebesaran itu ialah Ahli Jemaah Lembaga, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk K Ramalingam Krishnamoorthy; penyanyi, Datuk Abdul Hail Amir; dan atlet Sukan Paralimpik Olahraga, Datuk Abdul Latif Romly.

Ahli sukan negara yang juga menerima darjah kebesaran ialah atlet Sukan Paralimpik Olahraga, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang dikurniahkan JMW; manakala dua wira badminton negara, Aaron Chia Teng Fong dan Soh Wooi Yik, dikurniakan KMW.

Bagi menghargai jasa individu yang berbakti dalam memerangi pandemik COVID-19, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, dianugerahkan SMW; dan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Datuk Dr Kalaiarasu M Peariasamy, dikurniakan darjah kebesaran PMW.

JMW juga dikurniakan kepada Ruziah Shafei daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Che Samsuzuki Che Noh (Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); serta Danil Taridi Ghazali dan Dr Umi Ahmad (COVID-19 Coordination & Management Centre Wilayah Persekutuan).

KMW pula turut dikurniakan kepada Fadzilah Mahmud daripada Perbadanan Labuan; Joseph Kajangan (Kementerian Kesihatan) dan Superintendan Ahmad Jawla (Polis Diraja Malaysia).

Related Article