KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan berjumlah RM49,399 dalam usaha membantu masyarakat khususnya dalam kategori B40 dan M40 serta usahawan golongan orang kurang upaya (OKU) yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Melalui peruntukan itu, YBR menganjurkan Bengkel Keusahawanan dan Motivasi (i Perniagaan) hari ini bermatlamat menggalakkan mereka menimba ilmu pengetahuan, selain mengasah kemahiran dalam bidang perniagaan.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Shahrizal Sahri berkata, memasarkan produk memerlukan bukan sahaja latihan kemahiran malah khidmat nasihat dan sesi motivasi supaya lebih berdaya saing daripada aspek mental dan fizikal terutama selepas ramai terkesan susulan pandemik COVID-19.
Katanya, penganjuran bengkel keusahawanan itu juga antara lain, bagi menyahut seruan kerajaan bagi melahirkan lebih ramai usahawan berskala mikro untuk meraih pendapatan melalui perniagaan.
"Mereka bukan sahaja mendapat kemahiran malah turut berpeluang meningkatkan pendapatan dalam kadar segera dan akses pengetahuan pasaran bagi produk mereka.
"Bidang keusahawanan dilihat sebagai alternatif terbaik dan pilihan utama bagi rakyat mengurangkan bebanan kos sara hidup, yang mana ia diharapkan dapat membuka peluang buat mereka menjana pulangan dan pendapatan.
"Alhamdulillah, program ini diharap dapat membantu mereka yang memerlukan. Insya-Allah niat yang murni akan dapat dilaksanakan dengan baik. Dengan kerjaya keusahawanan, ia bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup individu dan masyarakat, malah menyumbang peningkatan ekonomi negara," katanya.
Jelasnya, bengkel yang diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan Pertiwi, Belia dan Kemanusiaan Malaysia itu membabitkan peserta dalam kalangan waris anak bekas anggota tentera.
Dalam pada itu, YBR turut berharap masyarakat bijak mencari dan merebut peluang memulakan perniagaan, sekali gus memanfaatkan sumber pendapatan baharu untuk kelangsungan hidup.