Trending
Nasional

Ekspo halal Pulau Pinang tahun ini tawar dimensi berbeza

KUALA LUMPUR: Penganjuran Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) 2022 di Pulau Pinang yang akan berlangsung pada 1 sehingga 3 Julai ini akan membawa satu sudut pandang sektor halal yang baharu.

Ia bakal memfokuskan kepada penyelarasan perniagaan pada peringkat global pasca pandemik dan juga kelebihan kepada perbandingan industri halal di peringkat Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Halal International, Fazil Irwan Som berkata, persidangan itu adalah usaha bagi memperkenalkan mesej baharu mengenai produk dan perkhidmatan halal.

"PIHEC 2022 adalah satu usaha untuk mempromosikan mesej baharu halal, bukan sahaja menjadikan halal sebagai satu jenama bagi perniagaan malah menjadikan ia satu nilai yang baik untuk dikongsikan secara bersama," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata seperti pengalaman lalu, fokus peserta ialah dari negara Asia Tenggara tetapi ada juga penyertaan dari jauh seperti Sepanyol.

Sementara itu, Exco Perdagangan, Industri, dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain, berkata negeri Pulau Pinang adalah lokasi yang sesuai untuk menjadi Hab Halal dan laluan pintu masuk bukan sekadar di wilayah utara Malaysia namun juga sebagai satu tempat tumpuan pusat rantaian bekalan halal di Asia Tenggara.

Abdul Halim malam tadi menyempurnakan prapelancaran kepada PIHEC 2022 yang mana selepas ini pasukan mereka akan giat melakukan promosi penawaran kiosk expo dan penyertaan.

Antara perbincangan yang terangkum dalam PIHEC adalah berkaitan dengan isu-isu hangat penyelarasan pasca pandemik seperti adaptasi digital dalam halal, ruang dan peluang dalam perjanjian perdagangan bebas berskala mega, cabaran dalam sektor logistik akibat inflasi yang tinggi dan banyak lagi.

PIHEC 2022 dipercayai bakal mengumpulkan komuniti perdagangan terbaik di rantau Asia Tenggara disamping menarik pelabur luar untuk melabur di negeri ini.

Persidangan ini juga mampu memberi manfaat melalui program berkait dengan ekosistem Halal di Pulau Pinang seperti menarik pelabur asing untuk melabur di Pulau Pinang.

Menerusi PIHEC 2022, ia diyakini mampu mengukuhkan Pulau Pinang sebagai destinasi perniagaan pelabur berprestasi cemerlang dan pelaburan ulung di Malaysia.

Ianya terbukti apabila Pulau Pinang pernah mencatatkan RM76.2 billion pelaburan dalam sektor pembuatan yang diluluskan untuk tahun lalu.

PIHEC yang bakal dianjurkan ini dijangka dapat menarik peserta bukan sahaja daripada komuniti perniagaan, malah pengunjung yang menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan percutian bersama keluarga dan rakan-rakan kerana mempunyai pelbagai lokasi tarikan pelancong yang menarik.

Bagi pendaftaran, boleh mendaftar melalui pautan http://penanghalal.international/EN/event-registeration .