Trending
Nasional

'Bantu, selamatkan Sapura Energy'

KUALA LUMPUR: UMNO setuju Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) dibantu supaya syarikat itu tidak diisytihar muflis dan pengauditan forensik dilaksanakan bagi menyelamatkannya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata seperti diutarakan dalam Debat Perdana antara dua tokoh politik empat hari yang lalu, syarikat yang pegangan ekuitinya disertai oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) seperti Sapura Energy mesti dibantu.

Katanya, lebih 10 juta pegangan saham amanah, Amanah Saham Nasional (ASN), mempunyai kepentingan dalam syarikat terbabit.

"Lebih RM5 bilion dilaburkan oleh PNB dan syarikat itu menggaji lebih 10,000 tenaga kerja dan lebih 3,000 vendor.

"Tanpa langsung menggunakan dana kerajaan, PETRONAS sesuai mengambil alih dan melakukan 'turn-around' seberapa segera.

"Kita setuju pengauditan forensik turut dilakukan supaya ia lebih telus," katanya berucap dalam Perhimpunan Khas Agung UMNO (PAU Khas) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

PAU Khas itu diadakan bagi meluluskan pindaan menyentuh Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, yang memberi tempoh untuk parti itu melanjutkan pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.

Ahmad Zahid berkata, usaha menyelamatkan Sapura Energy adalah selaras hasrat UMNO yang mahu agenda Melayu dan Bumiputera menjadi pengisian kerajaan.

Katanya, agenda Melayu dan Bumiputera perlu terus diperkasakan, termasuk memperkukuhkan agensi amanah Bumiputera.

Beliau berkata, institusi pegangan ekuiti Bumiputera seperti PNB, Tabung Haji, FELDA dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) wajib menjadi agenda utama kerajaan tanpa tunduk terhadap tekanan supaya ia diketepikan.

Related Article