Trending
Nasional

Ismail Sabri terima Ijazah Kehormat Doktor Perubatan Universiti Nihon

TOKYO: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Perubatan dari Universiti Nihon, yang juga antara universiti swasta terkemuka dan tertua di Jepun.

Anugerah itu adalah sebagai mengiktiraf usaha dan sumbangan Ismail Sabri dalam memerangi pandemik COVID-19.

Ismail Sabri menerima anugerah berkenaan daripada Presiden Universiti Nihon, Dr Naoto Kato di universiti berkenaan di bandar raya Itabashi, satu daripada pusat bandar yang terletak dalam metropolis Tokyo, ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun selama enam hari.

Menyatakan penghargaannya menerima anugerah berkenaan, Ismail Sabri berkata, anugerah itu bukan hanya untuknya tetapi buat seluruh Keluarga Malaysia yang bersatu hati bersama-sama kerajaan menghadapi pandemik COVID-19.

"Sesungguhnya anugerah ini adalah satu pengiktirafan besar bukan hanya untuk saya tetapi buat seluruh Keluarga Malaysia yang telah membuktikan keupayaannya untuk menangani pandemik COVID-19 dengan cara sendiri," katanya dalam ucapan penerimaan anugerah itu.

Mengimbau ketika pandemik COVID-19 melanda Malaysia, Ismail Sabri berkata, beliau diamanahkan sebagai Menteri Kanan Pertahanan Kluster Keselamatan pada Mac 2020 yang bertanggungjawab menerajui serta mempengerusikan mesyuarat khas menteri-menteri dalam memerangi ancaman pandemik COVID-19.

Bermula detik itu, katanya, seluruh kekuatan dan aset digembleng secara bersama iaitu agensi-agensi kerajaan termasuk pasukan kesihatan dan keselamatan selaku barisan hadapan digerakkan secara bersepadu dalam usaha menangani wabak berkenaan.

"Peperangan menentang COVID-19 ini adalah sesuatu yang besar dan mencabar," katanya.

Berkongsi pengalaman Malaysia memerangi pandemik COVID-19, Ismail Sabri berkata segala faktor yang boleh menjadi punca kepada penularan wabak itu dikenal pasti dan ditangani sebaiknya.

Beliau juga berkata, kerajaan terpaksa bertindak tegas pada peringkat awal dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan rakyat tidak dibenarkan keluar rumah kecuali untuk urusan penting sahaja.

"Kita berperang dengan musuh yang tidak kelihatan namun berada di sekeliling kita. Setiap peperangan mesti dimenangi dan nyawa rakyat Keluarga Malaysia mesti diselamatkan," katanya.

Ismail Sabri berkata, Malaysia sudah hampir berjaya, dengan Malaysia mulai 1 April sudah membuka pintu sempadan dan mulai 1 Mei pula, prosedur operasi standard dilonggarkan seperti pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di kawasan tertutup dan tiada lagi penjarakan fizikal dan ia membolehkan semua sektor ekonomi dibuka sepenuhnya.

"Inilah hasil strategi kesihatan yang berkesan dan pelaksanaan kawalan pergerakan serta sokongan penuh daripada rakyat akhirnya kita berjaya melandaikan lengkung jangkitan pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga diiktiraf antara negara terbaik menangani pandemik COVID-19 oleh beberapa agensi seperti Bloomberg dan Nikkei.

Kato dalam kata-kata penghargaannya mengakui Ismail Sabri memainkan peranan penting dalam menangani pandemik COVID-19 dan memberi keutamaan kepada kehidupan dan kesihatan rakyat.

"Ini turut menyumbang dengan ketara kepada pembinaan kepercayaan dalam kerjasama perubatan antarabangsa dan peningkatan teknologi dalam diagnosis dan rawatan jarak jauh serta latihan pemulihan fungsi, katanya.

"Pencapaian sedemikian amat dipandang tinggi oleh rakyat Malaysia," kata Kato sambil menambah bahawa Ismail Sabri telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan. – BERNAMA

Related Article